Labels

Friday, September 24, 2010

Hayati Erti Raya Yang Sebenar...



Baru-baru ini kita semua dikejutkan oleh seorang paderi bernama Terry Jones daripada Florida yang mahu membakar naskah Al-Quran bagi memperingati Tragedi 11 September 2001. Anak perempuannya sendiri menyifatkan bahawa bapanya itu seorang yang sakit mental selepas disingkirkan dari sebuah gereja di Jerman. Akhirnya Terry Jones membatalkan hasrat tersebut setelah mendapat tentangan, kecaman serta ugutan dari pelbagai pihak.



Namun pembakaran naskah Al-Quran masih dilakukan oleh seorang peguam di Australia. Dia telah membakar Al-quran dan Bible lalu dengan megahnya mengatakan bahawa dia melakukan semua ini untuk melihat sama ada Al-Quran mahupun kitab Bible yang akan habis terbakar dahulu.



Terdapat juga segelintir aktivis pelampau yang mengoyakkan Al-quran di hadapan kediaman White House. Ini mencetuskan tunjuk perasaan oleh orang-orang Islam sehingga menyebabkan ada yang meninggal dunia di dalam tunjuk perasaan tersebut demi mempertahankan kesucian Al-quran.



Sebenarnya, Islam sebagai sebuah agama yang mulia melarang umatnya daripada membakar kitab-kitab agama seperti Bible, Thaghut dan sebagainya sebagaimana kita dilarang daripada memusnahkan tempat-tempat ibadat yang lain.



Kita sebagai umat Islam serta mahasiswa-mahasiswi Islam secara khususnya yang baru bergraduan dari madrasah Ramadhan sepatutnya dapat menggunakan tarbiah Ramadhan untuk diamalkan selama 11 bulan selepas Ramadhan sehingga tiba kembali kepada madrasah Ramadhan yang akan datang.



Namun, kita terlalu sibuk serta leka dibuai keasyikan menyambut Hari Raya sehingga lupa serta tidak memperdulikan tentang penghinaan yang sedang dilakukan terhadap agama kita oleh orang-orang kafir.



Sepatutnya kita mestilah memanfaatkan Hari Raya dengan sepenuhnya di dalam mencari keredhaan Allah seperti kata pujangga:

Bukan raya bagi orang yang beriman itu baju yang baru dan indah tetapi raya dengan ketaatannya bertambah...

Bukan raya bagi orang yang beriman itu pakaian yang anggun serta kenderaan yang tersusun tetapi raya dengan dosanya diampun...

Dan bukan raya bagi orang yang beriman itu mendapat dinar dan dirham serta harta yang bertimbun-timbun tetapi raya dengan mendapat kerahmatan yang bertimbun-timbun...

p/s: Hayatilah erti Hari Raya yang sebenarnya...

No comments:

Post a Comment