Labels

Sunday, October 17, 2010

Perincian Bajet 2011

Salam…kali ini suka saya untuk membahaskan perincian mengenai Bajet 2011 yang bertemakan “Transformasi Ke Arah Negara Maju Berpendapatan Tinggi”. Bagi tahun 2011, pertumbuhan ekonomi dan perdagangan dunia dijangka sederhana sebanyak 4.2 peratus dan tujuh peratus. Selaras dengan itu, pertumbuhan ekonomi negara dijangka meningkat kepada lima hingga enam peratus.

Bajet 2011 ini ditumpukan kepada empat strategi utama berikut:

1. Mendaya Kembali Pelaburan Swasta.
2. Membangunkan Modal Insan.
3. Mensejahterakan Hidup Rakyat.
4. Memantapkan Penyampaian Perkhidmatan Awam.


STRATEGI PERTAMA: MENDAYA KEMBALI PELABURAN SWASTA

Pada tahun 2011, kerajaan menganggarkan jumlah nilai semasa pelaburan swasta akan berkembang 12.5% kepada RM86 billion. Sementara itu, pelaksanaan 12 National Key Economic Area (NKEA) dijangka menjana pelaburan melebihi RM1.3 trillion dan mewujudkan 3.3 juta peluang pekerjaan sepanjang tempoh pelaksanaannya. Daripada jumlah ini 92 peratus dibiayai oleh sektor swasta manakala bakinya dibiayai oleh kerajaan.

Kerajaan juga akan mempergiatkan lagi inisiatif Projek Perkongsian Awam-Swasta atau PPP yang terkandung di dalam RMK-10 dengan kos pelaburan swasta sebanyak RM12.5 billion. Kerajaan pula akan menyediakan peruntukan sebanyak RM1 billion daripada Dana Mudahcara. Antara projek PPP ialah:

1. Pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Cheras-Pandan.
2. Pembinaan Lebuh Raya Guthrie-Damansara.
3. Pembinaan Lebuh Raya Damansara-Petaling Jaya.
4. Pembinaan Lebuh Raya Pantai Barat Banting-Taiping.
5. Pembinaan Lebuh Raya Sungai Dua-Juru.
6. Pembinaan Lebuh Raya Paroi-Senawang-KLIA.
7. Pembinaan Loji Janakuasa Kitar Padu Gas 300 mega watt di Kimanis, Sabah.
8. Pembinaan Hospital Pengajian Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Kuantan
9. Pembinaan Hospital Wanita dan Kanak-kanak di Kuala Lumpur.
10.Pembinaan Institut Penyelidikan Kesihatan Bersepadu di Kuala Lumpur.

Selain itu, pembangunan tanah milik Lembah Getah Malaysia sebanyak 2680 hektar di Sungai Buloh akan diuruskan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja atau KWSP dengan nilai pembangunan sebanyak RM10 billion.

Permodalan Nasional Berhad atau PNB akan membangunkan projek bersepadu yang dinamakan Warisan Merdeka dengan nilai RM5 billion yang akan mengekalkan Stadium Merdeka, Stadium Negara dan membina sebuah menara 100 tingkat yang tertinggi di Malaysia yang dijangka akan siap pada tahun 2015.


Selain itu, kerajaan akan melaksanakan Dasar Liberalisasi Kewangan Negara dengan beberapa langkah berikut:

1. Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan atau GLIC akan mengurangkan pegangan saham dalam syarikat utama di Bursa Saham Malaysia untuk meningkatkan kecairan dan halaju dagangan pasaran.
2. GLIC dibenarkan meningkatkan pelaburan di luar Negara seperti contoh KWSP dibenarkan membuat peningkatan pelaburan di luar Negara dari 7 peratus kepada 20 peratus.
3. Bursa Malaysia akan melancarkan bon konvensional dan sukuk untuk memenuhi permintaan pelabur-pelabur tempatan.
4. Suruhanjaya Sekuriti akan menawarkan tiga lesen syarikat broker untuk meningkatkan lagi penyertaan pasaran runcit.
5. Penyenaraian anak syarikat Petronas dan MISC iaitu Petronas Chemical Sdn Bhd dan Malaysia Marine and Heavy Engineering Holding Berhad akan meningkatkan lagi pegangan awam.
6. Suruhanjaya Sekuriti akan memudahkan proses penyenaraian syarikat dan produk, terutamanya Dana Dagangan Bursa.

Tambahan, kerajaan akan menyediakan Latihan Peningkatan Keusahawanan kepada 500 bakal teknopreneur dan menarik lebih ramai angel investors. Manakala Malaysia Technology Development Corporation (MTDC) diberi Dana Permulaan Perniagaan berjumlah 100 juta untuk menggalakkan industri modal teroka.

Peruntukan sebanyak RM857 juta kepada syarikat-syarikat tempatan yang melabur dalam sektor elektrik dan elektronik.

Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera pula akan melancarkan Skim Amanah Hartanah Bumiputera dengan nilai RM1 billion dan patuh syariah untuk memberi peluang kepada pemilikan hartanah di bandar-bandar utama negara kepada golongan bumiputera.

Kerajaan juga akan melancarkan Dana Pencen Swasta pada 2011 dengan pelepasan cukai pendapatan sehingga RM6000 bagi setiap caruman yang dibuat di KWSP.

Kerajaan juga menyediakan beberapa insentif bagi memajukan teknologi hijau iaitu:
1. Tahap Perintis dan Elaun Cukai Pelaburan bagi aktiviti penjanaan sumber tenaga yang boleh diperbaharui dipanjangkan sehingga 31 Disember 2015.
2. Pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas peralatan penjanaan sumber tenaga yang boleh diperbaharui dilanjutkan sehingga 31 Disember 2012.
3. Pengecualian duti import dan duti eksais sepenuhnya bagi pemegang francais kereta dan motorsikal hibrid dan elektrik sehingga 31 Disember 2011.
4. Pengecualian cukai atas pendapatan daripada perdagangan sijil Certified Emission Reductions (CERs) dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2012.

Kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM3.8 billion untuk sektor pertanian dengan tindakan berikut:

1. Membangunkan Zon Akuakultur Bersepadu di Pitas, Sungai Telaga dan Sungai Padas di Sabah serta di Batang Ai dan Tanjung Manis di Sarawak dengan peruntukan RM252 juta.
2. Sebanyak RM235 juta diberikan kepada Kawasan Pembangunan Pertanian Muda Kedah (MADA) untuk menaik taraf sistem pengairan dan penggunaan benih bermutu tinggi.
3. Menggalakkan petani menceburi bidang industri burung walit, akuakultur, rumpai laut, ikan hiasan, herba dan rempah ratus dengan peruntukan penyediaan prasarana asas sebanyak RM135 juta.
4. Memperutukkan RM80 juta bagi menjalin kerjasama antara petani-petani dengan syarikat peneraju.
5. Membina makmal diagostik di Kolej Pertanian Kubang Pasu dengan peruntukan sebanyak RM70 juta.
6. Membina Pusat Penyelidikan Antarabangsa Tanaman Masa Hadapan di Semenyih dengan peruntukan Rm15.7 juta.
7. Melanjutkan pemotongan cukai pendapatan bagi pelabur dan pengecualian cukai pendapatan bagi syarikat yang berteraskan aktiviti pengeluaran bahan makanan sehingga tahun 2015.

Bagi industri pelancongan pula, kerajaan akan melaksanakan beberapa penambahbaikkan prasarana seperti:

1. Memperuntukkan sebanyak RM85 juta bagi menyediakan kemudahan infrastruktur yang membolehkan pembinaan hotel dan pusat peranginan di kawasan pedalaman.
2. Membina beberapa laluan berbumbung pejalan kaki di kawasan lingkaran KLCC-Bukit Bintang dengan peruntukan sebanyak RM50 juta.
3. Menyusun semula Jabatan Penerbangan Awam kepada Lembaga Penerbangan Awam.
4. Pembangunan resort bersepadu eco-nature yang pertama di dunia oleh Nexus Karambunai di Karambunai, Sabah dengan pelaburan RM3 billion dan disokong oleh kerajaan dengan peruntukan RM100 juta.

Dalam memangkin industri minyak sawit dan produk berkaitan, beberapa langkah akan dilaksanakan iaitu:

1. Menggalakkan penanaman semula kelapa sawit dengan dana sebanyak RM297 juta.
2. Sejumlah RM 127 juta diagihkan kepada syarikat oleo derivatives tempatan dan RM23 juta lagi untuk mengembangkan industri hiliran minyak sawit termasuk pengeluaran vitamin.

Pemansuhan duti import keatas 300 jenis barangan kegemaran pelancong dan pengecualian cukai jualan ke atas semua jenis telefon bimbit.

Bantuan peruntukkan sebanyak RM850 juta kepada koridor dan wilayah ekonomi bagi infrastruktur sokongan untuk industri yang mempunyai kelebihan daya saing dan mempunyai impak tinggi.

Kerajaan juga memperutukkan sebanyak RM411 juta bagi kegiatan penyelidikan, pembangunan serta pengkomersialan (R&D&C) serta menubuhkan Unit Inovasi Khas (UNIK) untuk mengkomersialkan hasil penemuan R&D oleh universiti dan institusi penyelidikan dengan peruntukan RM71 juta.

Sejumlah RM200 juta disediakan bagi memajukan industri kreatif yang meliputi animasi, pengiklanan, perfileman, seni reka fesyen, kraf dan warisan budaya.


STRATEGI KEDUA: MEMBANGUNKAN MODAL INSAN

Peruntukkan perbelanjaan mengurus sebanyak RM29.3 billion untuk Kementerian Pelajaran, RM10.2 billion untuk Kementerian Pengajian Tinggi dan RM627 untuk Kementerian Sumber Manusia.

Peruntukan perbelanjaan membangun sebanyak RM6.4 billion bagi Kementerian Pelajaran Malaysia bagi membina dan menaik taraf sekolah, asrama kemudahan dan peralatan serta memartabatkan profesion guru.

Selain itu, sebanyak RM213 juta lagi diberi sebagai ganjaran kepada sekolah berprestasi tinggi serta imbuhan kepada pengetua, guru besar serta guru cemerlang.

Kerajaan juga memperuntukkan RM111 juta untuk program PERMATA antaranya bagi pembinaan Fasa II Kompleks Sekolah PERMATA Pintar, membina 32 Pusat Anak PERMATA Negara (PAPN) serta meneruskan program PERMATA Pintar, Seni, Insan dan Remaja.

Sebanyak RM250 juta diperuntukkan bagi bantuan kepada sekolah bantuan modal agama, sekolah bantuan modal jenis kebangsaan Cina, sekolah kebangsaan Tamil, sekolah bantuan modal mubaligh serta sekolah bantuan kerajaan seluruh negara. Kerajaan juga bersetuju membiayai bantuan per kapita untuk sekolah-sekolah agama rakyat rendah dan menengah dengan bantuan dana sebanyak RM95 juta.

Peruntukan sebanyak RM576 juta dalam bentuk biasiswa bagi guru-guru yang ingin melanjutkan pengajian.

Sebanyak RM213 juta pula diperuntukkan bagi mengangkat martabat Bahasa Malaysia, mempersadakan Bahasa Inggeris dan memperkemaskan Kurikulum Standard Sekolah Rendah.

Memperkasakan institusi pengajian tinggi bertaraf dunia dengan beberapa insiatif berikut:

1. Menambah peratusan staf akademik berkelulusan PhD kepada 75 peratus bagi universiti penyelidikan dan 60 peratus bagi IPTA lain dengan peruntukan sebanyak RM20 juta.
2. Menambah baik peluang kenaikan pangkat pensyarah di IPTA dengan mempertimbangkan kenaikan pangkat ke peringkat tertinggi Gred Turus III, II dan I serta penganugerahan sebagai Profesor Ulung.

Kerajaan juga menyediakan sebanyak RM60 juta bagi mempergiatkan lagi Program Industrial Skill Enhancement Programme di Pusat Latihan Kemahiran Negeri.

Selain itu, sebanyak RM220 juta juga turut disediakan bagi memastikan para siswazah dapat mengembang kompetensi dan kebolehpasaran mereka.

Peruntukan RM50 juta kepada Multimedia Development Corporation bagi melatih graduan bidang ICT supaya meningkatkan kebolehpasaran dan memenuhi keperluan industri ICT.

Program Latihan 1Malaysia berkaitan dengan meningkatkan kemahiran dan mempelajari kemahiran baru juga akan dilaksanakan dengan dana sebanyak RM500 juta.

Penubuhan Majlis Konsultasi Gaji Negara yang akan menjadi platform utama dalam penetapan upah dan gaji serta pengenalan gaji minimum serta mekanisma pelaksanaannya.

Bagi membela nasib wanita, kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM30 juta bagi Program Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal dan mengadakan Anugerah Perdana Usahawan serta Tokoh Aktivis Wanita disamping memberikan kemudahan cuti bersalin selama 3 bulan kepada pekerja-pekerja wanita yang bersalin.

Peruntukan sebanyak RM365 juta untuk pengurusan dan pembangunan sukan diberikan kepada Kementerian Belia dan Sukan serta mewujudkan Akademi Bola Sepak di Pahang dengan peruntukan RM20 juta.


STRATEGI KETIGA: MENSEJAHTERAKAN HIDUP RAKYAT

Kerajaan memperuntukan sebanyak RM1.2 billion kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk menjalankan beberapa program dan insiatif seperti:

1. Peruntukan RM166 juta untuk kebajikan warga emas.
2. Peruntukan RM121 juta untuk program bantuan kanak-kanak yang melibatkan seramai 97,000 kanak-kanak.
3. Peruntukan RM218 juta kepada golongan orang kurang upaya (OKU) yang dimanfaatkan oleh 80,000 OKU.
4. Pengecualian sepenuhnya duti eksais bagi pembelian kenderaan nasional oleh OKU.
5. Membina sebuah pusat intervensi bagi menangani golongan tuna wisma dan gelandangan dengan menyediakan peluang pekerjaan, kemudahan perumahan dan kaunseling.

Peruntukan sebanyak RM150 juta untuk memberi rebet bayaran bil elektrik bagi penggunaan bawah RM20 sebulan yang dimanfaatkan lebih 1 juta pengguna di seluruh negara.

Peruntukan sebanyak RM568 juta bagi membina 300 unit kediaman di bawah Projek Bantuan Perumahan Bandar, 79,000 unti di bawah Program Perumahan Rakyat dan 8,000 unit di bawah Projek Bantuan Sewa Rumah.

Penyediaan Skim Pembiayaan Perumahan Kos Rendah dengan peruntukan RM50 juta bagi pekerja-pekerja estet memiliki rumah sendiri.

Memberikan pinjaman 100 peratus tanpa deposit bagi pembeli rumah pertama yang berpendapatan kurang dari RM3,000 sebulan.

Peruntukan sebanyak RM6.9 billion terhadap Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah di dalam melaksanakan program dan pelaksanaan berikut:

1. Menaik taraf jalan luar bandar di Sabah dan Sarawak dengan kos RM2.1 billion dan di Semenanjung dengan kos RM696 juta.
2. Menyedia bekalan air dan elektrik di luar bandar di Sabah dan Sarawak dengan kos RM1.2 billion dan di Semenanjung dengan kos RM556 juta.
3. Melaksanakan program bantuan rumah untuk golongan miskin dan miskin tegar dengan peruntukan sebanyak RM300 juta.
4. Menyediakan Unit Khas Bergerak Jabatan Pendaftaran Negara untuk memudahkan pendaftaran kerakyatan.

Pemberian sebanyak RM974 juta sebagai subsidi harga padi, baja dan benih padi serta RM 230 juta untuk tujuan intensif pengeluaran dan peningkatan hasil padi. Kerajaan juga memperuntukan sebanyak RM170 juta bagi intensif hasil tangkapan ikan nelayan.

Kerajaan akan memperkenalkan Program Pengedaran Barang Perlu seperti beras, gula, minyak masak dan sebagainya dengan peruntukan sebanyak RM100 juta.
Memperkenalkan Program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR), Bengkel Automotif serta Projek Pasar Komuniti dengan peruntukan sebanyak RM73 juta.

Melaksanakan Projek Penyelenggaraan Aset Awam yang dikenali sebagai PIA/PIAS dengan peruntukan sebanyak RM500 juta.

Menaikkan elaun Pengerusi JKKK, JKKP, Tok Batin, Pengerusi JKKK Orang Asli dan Pengerusi Kampung Baru kepada RM800 sebulan berbanding RM450 sebelum ini.

Menaikkan elaun bulanan imam dari RM450 kepada RM750 sebulan dan juga menaikkan elaun guru KAFA dari RM500 kepada RM800 sebulan.

Sejumlah RM100 juta diperuntukan bagi melaksanakan pelbagai program Orang Asli termasuk menyelesaikan isu pegangan hak tanah dan persempadanan penempatan Orang Asli serta membangunkan Model Baru Pembangunan Orang Asli.

Tiada kenaikan kadar tol di empat lebuhraya milik PLUS Expressway Berhad selama 5 tahun.

Selain itu, sebanyak RM15.2 billion diperuntukkan bagi membina hospital baru, menambah bilangan doktor dan jururawat, mendapatkan bekalan ubat dan peralatan perubatan. Kerajaan juga akan menambah lagi 25 Klinik 1Malaysia dan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 76 buah Klinik 1Malaysia.

Kerajaan juga memperuntukan sebanyak RM350 juta untuk mempertingkatkan keselamatan awam dan menambah 25 mahkamah khas untuk mempercepatkan perbicaraan.

Peruntukan sebanyak RM70 juta pula disediakan kepada NGO terpilih untuk melaksanakan program dan aktiviti bagi membantu kerajaan memantapkan lagi institusi kekeluargaan dan menangani gejala sosial.

Dana Belia 1Malaysia ditubuhkan dengan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi memupuk semangat 1Malaysia.

Sejumlah RM1.9 billion disediakan bagi membiayai projek pemulihan alam sekitar antaranya seperti pelaksanaan program Sungai Nadi Kehidupan dan Menghijaukan Kuala Lumpur.


STRATEGI KEEMPAT: MEMANTAPKAN PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN AWAM

Insiatif MyCoID Gateway yang menggunakan nombor rujukan tunggal Suruhanjaya Syarikat Malaysia bagi menjalankan urusan telah berjaya dilaksanakan.

Kerajaan juga akan memperkenalkan sistem pemarkahan untuk memudahkan pemohonan taraf penduduk tetap (PR) yang membolehkan pemohonan dibuat selepas 5 tahun bermastautin berbanding 10 tahun sebelum ini.

Akta Setem 1949 telah dipinda bagi mempercepatkan proses pendaftaran hartanah oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta daripada 30 hari kepada satu hari sahaja.

Memansuhkan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dan menggantikan dengan satu sistem penilaian yang lebih sesuai menjelang Jun 2011.

Kerajaan juga meghargai sumbangan dan komitmen penjawat awam dalam melaksanakan dan menjayakan insiatif kerajaan dengan:

1. Memberi Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada penjawat awam gred 54 ke bawah dan pembayaran dibuat pada Disember ini.
2. Menaikkan kadar Bantuan Mengurus Jenazah daripada RM1,000 kepada RM3,000.
3. Menyambung perkhidmatan Pegawai Khidmat Singkat yang akan tamat khidmat pada 31 Disember 2010 selama setahun lagi.
4. Membenarkan pembelian hartanah dari ibu, bapa, anak dan adik-beradik.
5. Menggandakan kadar pinjaman kepada RM20,000 daripada RM10,000 untuk kerja-kerja tambahan bagi rumah kos rendah bagi Kumpulan Sokongan Dua.
6. Menaikkan had maksimum pinjaman perumahan dari RM360,000 kepada RM450,000 berkuat kuasa 1 Januari 2011.

2 comments: