Labels

Wednesday, July 27, 2011

USIM Juara Pertandingan Bahas Pendidikan Islam Peringkat ASEAN...

USIM tundukkan UIAM di pentas akhir Pertandingan Bahas Pendidikan Islam di Brunei


Wira2 USIM. (Dari kiri) Ummu Umairah, Irhammudin, Mohd Ikhwan, Shah Izad dan Syamsul Amri (Duduk)

Buat pertama kalinya Universiti Brunei Darussalam (UBD) menganjurkan Pertandingan Bahas Pendidikan Islam Peringkat ASEAN yang berlangsung 20 Jun – 22 Jun 2011 yang bertempat di kampus induk UBD, Brunei Darussalam. Pertandingan ini dianjurkan bersempena sambutan jubli perak, ulangtahun UBD ke-25 tahun. Pertandinagn ini dibuka kepada semua Universiti-universiti ASEAN.


Johan Pertandingan Bahas Pendidikan Islam Peringkat ASEAN...

Pertandingan ini telah menemukan Universiti Sains Islam Malaysia(USIM) melawan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) di pusingan akhir dengan usul "Umat Islam Terpinggir Kerana Lemah Dalam Sains dan Teknologi". Pusingan akhir ini juga dihadiri oleh Menteri Pendidikan Negara Brunei Darussalam, Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato’ Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong bersama beberapa rektor dan naib canselor universiti-universiti seluruh Brunei.


KOMITMEN… Jurulatih En. Syamsul Amri bersama En. Rashid, pengiring USIM.

USIM yang bertindak sebagai pembangkang dibarisi oleh Ummu Umairah bt Azahari, Mohd Ikhwan mohd Rosseli, Muhamad Shah Izad bin Saleh dan Muhammad Irhammudin bin Hj. Ibrahim telah berjaya merangkul kejuaraan dan membawa pulang piala iringan, piala rebutan dan wang tunai Brunei Dollar 1500.00. Pendebat terbaik pula disandang oleh Syazwan Shuhaimi, dari UIAM.


Situasi perdebatan...

USIM telah mendapat tunjuk ajar daripada seorang lagenda pendebat Bahasa Melayu, En. Syamsul Amri Bin Ismail yang telah membawa USIM ke beberapa pentas akhir pertandingan debat yang lain seperti Pertandingan Debat diRaja (Royal Debate), Debat Alam Sekitar, Debat Integriti, Debat Kefahaman Islam IKIM dan Debat Terbuka Majlis Pembandaran Sepang. Menurut beliau, “kejayaan ini tidak hanya dirai oleh USIM semata-mata, namun harus juga dikongsi oleh bekas pendebat USIM dan seluruh rakyat Malaysia”. Bagi Mohd Ikhwan pula, beliau berpendapat jangan terlalu cepat berpuas hati lantas meletakkan di tempat yang selesa, sebaliknya perlu bermuhasabah untuk perbaiki diri dan pasukan.


Bekas pendebat UIAM… Datin Norjuma Habib Mohd turut hadir...

Kemenangan di Pertandingan Bahas Pendidikan Islam Peringkat Asean ini merupakan satu sejarah apabila USIM telah mengharumkan nama Malaysia di peringkat ASEAN. Sejurus selepas diumumkan sebagai pemenang, USIM telah dijemput untuk menghadiri satu sesi khas iaitu temuramah di Radio Televisyen Brunei (RTB) yang dilakukan secara langsung. USIM turut mendapat liputan meluas daripada beberapa surat khabar tempatan Negara Brunei. Tidak cukup dengan itu, USIM turut menerima beberapa jemputan makan pagi dan tengahari bersama beberapa VIP yang lain namun semua jemputan itu terpaksa ditolak atas sebab kekangan masa. Sepanjang berada di Brunei, USIM turut dibantu oleh En. Rashid Rahman Hassan, naib johan Pidato Antarabangsa 2011, yang menjadi pengiring pasukan USIM.


Bergambar kenangan bersama menteri pelajaran Negara Brunei, Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato’ Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dan VVIP yang lain.

Pasukan Debat USIM telah menjalani latihan secara berkala sejak 4 bulan yang lalu, tetapi latihan secara serius telah dijalankan selama 2 minggu bagi mencari fakta, maklumat dan menguasai isu semasa. Menurut Ummu Umairah, “untuk berjaya dalam debat, bukan sekadar kepetahan bersuara yang diperlukan namun kebijaksanaan dan penguasaan sesuatu maklumat itu yang penting”. Tidak hairanlah jika Pasukan Debat Bahasa Melayu USIM bermalam di bilik laihan debat. Namun, itu menjadi perkara biasa bagi Pasukan Debat Bahasa Melayu jika ingin mencapai kejayaan. Pasukan Debat Bahasa Melayu berhasrat untuk terus mengaharumkan nama universiti. Selamat maju jaya kepada Pasukan Debat Bahasa Melayu USIM ini yang tidak pernah lekang dengan senyuman.

Laporan disediakan oleh Saudara Shah Izad bin Saleh, Timbalan Pengerusi I Kelab Debat USIM 2011/2012...

No comments:

Post a Comment