Labels

Sunday, August 28, 2011

5 Marhalah dalam Muhasabah Diri...

Perkongsian bersama semperna 10 malam terakhir di bulan Ramadhan ini. Sahabat-sahabatku yang dikasihi...

Sesiapa yang menghisab dirinya sebelum dihisab maka akan diringankan hisabnya di akhirat kelak serta didatangkan jawabnya ketika disoal dan keelokkan tempat kembali. Sebaliknya sesiapa yang tidak menghisab dirinya maka berkekalanlah kedukaannya dan panjanglah penghisabannya di Hari Pembalasan.

Justeru, hendaklah kita bermuhasabah diri dan menyoal diri sendiri, adakah kita akan terlepas daripada dihisab? Oleh itu segeralah bermuhasabah sebelum terlambat. Sebagai panduan imam Al-Ghazali telah menetapkan beberapa marhalah atau peringkat untuk bermuhasabah seperti mana berikut:



MARHALAH PERTAMA: Al-MUSYAROTHOH
Pada peringkat ini kita mengenali bahawa diri itu adalah diri kita sendiri dan hati itu adalah hati kita. Ditangan kitalah terserah segala amalan baik dan buruk. Ketahuilah bahawa membaiki diri dengan amalan yang soleh manakala kerosakan diri berpunca daripada maksiat dan kejahatan.

MARHALAH KEDUA: AL-MUROKOBAH
Intai-intailah diri sewaktu mengharungi amalan dan perhatikanlah dengan mata hati. Sekiranya kita mendapati bahawa diri kita telah melanggari hak-hak Allah lantas melakukan maksiat terhadapnya maka segeralah bertaubat dan baikilah diri dengan mentaati segala suruhan dan larangannya.

MARHALAH KETIGA: AL-MUHASABAH
Apabila seseorang hamba itu menghisab dirinya pada akhir waktu, adakala rutin seharian yang dilalui dipenuhi dengan ketaatan. Justeru, sewajarnya hamba itu memuji Allah, berdoa dengan penuh kesabaran dan istiqamah diatas perkara tersebut. Sekiranya, kehidupan seharian hamba itu dipenuhi dengan maksiat dan dosa, maka hendaklah dia berhenti, mencela dan menegah dirinya daripada mengulangi apa yang telah dilakukan sebelum itu.

MARHALAH KEEMPAT: AL-MUAKOBAH
Amaran dan tegahan untuk tidak melakukan dosa dan maksiat tidak memadai sekiranya tidak diiringi dengan iqab(denda) yang zahir agar iqab itu menjadi penolak dan penghalang kepada dosa atau maksiat yang telah dilakukan.
Diriwayatkan bahawa Saidina Umar Al-Khatab telah mendera dirinya sendiri kerana meninggalkan solat Asar berjemaah dengan menyedekahkan tanahnya yang bernilai 200ribu dirham. Manakala sesetengah ulama pula mewajibkan diri sengan berpuasa selama setahun, berjalan kaki untuk menunaikan haji dan sebagainya bertujuan untuk menta'dib dan mentarbiah diri agar tidak mengulangi tegahan Allah.

MARHALAH KELIMA: AL-MUJAHADAH
Sentiasalah berwaspada, bermuhasabah, melaksanakan iqab dan bermujahadah dari masa ke semasa dan beramallah dengan amalan-amalan yang dikehendaki oleh Allah dengan bersungguh-sungguh supaya tidak kufur di pertengahan jalan.

Seruan buat sahabat-sahabatku yang dikasihi, segeralah bermuhasabah serta ingatlah hala tuju dan persediaan kita untuk berhadapan dengan Hakim yang Maha Agung di Padang Masyar nanti. Adakah hari yang kita lalui kini lebih baik daripada semalam? semoga kita semua diredhai Allah dan ditempatkan bersama hambanya yang solihin. Amin...

Renung-renungkan dan selamat beramal...

_________________________
I have added cool emoticons to this message.
To see them go to http://x.exps.me?4bbaf23a2481118d976d759bc1feb385

No comments:

Post a Comment