Labels

Monday, December 2, 2013

Ekonomi Melayu dan Bumiputera


Hakikatnya apabila melihat perubahan demi perubahan lanskap ekonomi negara ada satu perkara yang tidak dapat dilupakan iaitu mengenai penguasaan ekonomi negara oleh orang Melayu dan Bumiputera. Walaupun banyak menyalahkan penjajahan asing ke Tanah Melayu dahulu merupakan sebab kepada kemunduran orang Melayu dan Bumiputera dalam bidang ekonomi namun penulis berpendapat bahawa semua ini berpunca daripada sikap orang Melayu dan Bumiputera itu sendiri. Bukan hendak merendah-rendahkan bangsa sendiri namun terpaksa jua mengakui keadaan sebenarnya.



Bukan tiada usaha yang telah dilakukan oleh semua pihak terutamanya kerajaan, namun kesannya masih lagi berada di tahap yang belum boleh dibanggakan. Walaupun kita boleh berbangga dengan tokoh-tokoh Melayu dan Bumiputera yang telah berjaya seperti Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, Tan Sri Ali Hashim, Datuk Seri SM Faisal SM Nasamuddin, Datuk Kamarudin Meranun, Datuk Shahriman Shamsuddin dan sebagainya, namun jauh di sudut hati perlu mengakui bahawa masih ramai lagi orang Melayu dan Bumiputera yang masih ketinggalan di dalam ekonomi negara.



Pelbagai inisiatif telah disediakan termasuklah pembiayaan perniagaan, geran, khidmat nasihat perniagaan, kursus pengendalian perniagaan sehinggalah menyediakan tapak dan pasaran pembeli kepada orang Melayu dan Bumiputera untuk menceburkan diri dalam perniagaan. Pelbagai agensi kerajaan seperti TERAJU, MARA, Amanah Ikhtiar Malaysia, TEKUN dan sebagainya ditubuhkan bagi mengangkat penguasaan ekonomi oleh orang Melayu dan Bumiputera namun semua itu masih lagi gagal.


Maka benarlah seperti ayat quran:


"Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya."
(Surah Al-Ra’d, 13:11)



Orang Melayu dan Bumiputera sebenarnya mampu untuk melangkah lebih jauh daripada keadaan sekarang. Namun disebabkan oleh mentaliti orang Melayu dan Bumiputera yang kebanyakkanya mahukan kehidupan yang senang tanpa mahu bersusah payah menidakkan kemampuan yang sedia ada. Ditambah pula dengan harapan terhadap bantuan kerajaan yang menggunung tinggi sehingga menghilangkan sifat ikhtiar dan berdikari dalam diri. Tidak salah untuk hidup besederhana dan merasa selesa dengan keadaan semasa namun alangkah baiknya jika kita berusaha sehingga menjadi orang yang mampu untuk menolong orang lain.



Mengikut keadaan semasa, ekuiti orang Melayu dan Bumiputera sebenarnya baru mencecah 22% (2011) sejak sasaran 30% dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) selama ini. Itu setelah mengambil kira sekali penguasaan oleh syarikat-syarikat kerajaan (GLC). Sekiranya kita tidak mengambil kira pegangan GLC maka sebenarnya penguasaan ekuiti orang Melayu dan Bumiputera dalam ekonomi negara lebih kurang 15% sahaja. Malulah kita apabila sebenarnya kita orang Melayu dan Bumiputera adalah miskin di tanah sendiri.




Sampai bila orang Melayu dan Bumiputera mahu mengharapkan ‘suapan’ dari kerajaan, sampai bila kita mahu mengharapkan kerajaan menyediakan segala-galanya untuk keselesaan kita. Jika sekarang kita masih boleh mengharap kepada kerajaan, apakah satu hari nanti apabila sekiranya orang Melayu dan Bumiputera sudah kehilangan kuasa politik baru kita hendak terjaga dari rasa keselesaan tersebut. Maka, sedarlah wahai orang Melayu dan Bumiputera bahawa kitalah yang menentukan corak hidup generasi kita pada masa akan datang. Bangunlah dari lena yang panjang dan berusahalah memartabatkan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera. Manfaatkan semua peluang yang ada dan jangan pernah rasa takut untuk menghadapi kegagalan.

No comments:

Post a Comment