Labels

Thursday, December 5, 2013

Perjanjian Perkongsian Trans-Pacific (TPPA): Majukah atau mundurkah Malaysia?


Perjanjian Perkongsian Trans-Pacific (TPPA) adalah perjanjian multilateral terikat yang melibatkan negara Asia Pasifik seperti Australia, AS, New Zealand, Kanada, Mexico, Chile, Brunei, Malaysia dan Vietnam. TPPA ini adalah mengenai liberalisasi pasaran di mana negara ahli bebas berniaga di pasaran negara ahli secara terbuka sesuai dengan konsep globalisasi.

TPPA menjadi isu apabila semua perbincangannya termasuk teks perbincangan adalah rahsia sehinggalah selepas empat tahun perjanjian dimeterai. Ini bermakna perjanjian TPPA ini telah meletakkan rakyat di dalam kegelapan, sesuatu yang cukup pelik dalam sebuah dunia terbuka tanpa sempadan.



Apabila ditanya mengapa dirahsiakan, jawapan kerajaan adalah seperti kelaziman iaitu: “Perjanjian ini baik untuk negara kerana memudahkan barangan kita untuk memasuki pasaran luar.” Persoalannya, jika TPPA begitu bermanfaat, mengapa teks perjanjian yang sedang dirundingkan tidak dibentangkan untuk pengetahuan umum? Mengapa perlu berahsia?

Menurut  Tun Dr Mahathir Mohamad, TPPA merupakan satu bentuk “perdagangan terkawal” dan bukan “perdagangan bebas” seperti yang didokong oleh Amerika Syarikat (AS). “Dengan syarat yang diberikan (dalam TPPA), perdagangan tidak lagi bebas, kita akan terikat dengan perjanjian itu.”



Amerika kini memiliki hutang melebihi pendapatan. Mereka cuba meningkatkan kekayaan melalui perjanjian-perjanjian dengan negara miskin dan dengan itu ia cuma menaikkan semula kekuatan ekonominya dengan mengakses sumber daripada negara-negara kecil yang pernah dijajah oleh kuasa Barat. TPPA dilihat sebagai satu bentuk “penjajahan baru” oleh AS terhadap negara-negara kecil ini.

Namun tidak dinafikan, sudah tentu pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang mewakili Malaysia dalam rundingan ini telah mengambil kira pelbagai faktor yang membabitkan hak-hak seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan negeri-negeri serta keperluan untuk melindungi kelompok-kelompok tertentu.



Difahamkan pihak MITI  kini sedang bertungkus-lumus untuk mencari formula dan penyesuaian yang bukan sahaja diterima oleh rakyat tempatan tetapi juga di peringkat antarabangsa. Namun kita harus memahami dalam perundingan antarabangsa yang mana setiap negara juga mempunyai kepentingan yang tidak sama, maka satu penyelesaian dan tolak-ansur serta kompromi harus diterima. Kita tidak seharusnya terus-menerus menegakkan pendirian masing-masing yang akhirnya tiada sebarang persetujuan. Inilah yang sering terjadi pada setiap kali perundingan WTO menemui jalan buntu.

Namun dengan terlaksananya TPPA ini akan menyebabkan beberapa kesan iaitu:

1-PELABURAN DAN KEDAULATAN


TPPA akan menyekat ruang pembuatan dasar oleh kerajaan melalui klausa ‘Investor-To-State Dispute Settlement (ISDS)’ dan ‘State-To-State Dispute Settlement’ (SSDS). ISDS ini akan menyebabkan mana-mana syarikat mampu untuk mengheret kerajaan Malaysia ke mahkamah bagi tuntutan kerosakan dan ganti rugi. Ianya merupakan “keadilan korporat” yang merentasi semua negara atas alasan “kesaksamaan dan kesamarataan”. Perkara ini telah terjadi apabila Philip Morris (syarikat tembakau AS) telah menyaman kerajaan Australia akibat penukaran undang-undang mengenai pembungkusan rokok oleh kerajaan Australia yang menyebabkan kerugian terhadap mereka.

Hakikatnya, ini akan menyebabkan syarikat gergasi multinasional mempunyai peluang untuk melawan sistem undang-undang sebuah negara melalui sebuah tribunal pengadilan antarabangsa sama ada di Washington atau di Geneva yang akan dianggotai oleh tiga orang hakim; dua orang hakim antarabangsa dan seorang hakim tempatan.

2-PEROLEHAN KERAJAAN


Dengan adanya TPPA ini, semua perolehan kerajaan termasuklah berkaitan dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Petronas tidak boleh dalam apa jua cara memihak kepada kontraktor tempatan dalam kaedah yang boleh disifatkan sebagai tidak adil kepada perusahaan asing lain daripada negara-negara rakan TPPA. Ini akan menyebabkan hanya kontrak sampingan yang akan dimiliki oleh kontraktor tempatan selepas perebutan kontrak dengan syarikat gergasi multinasional asing.

Bukti empirikal menunjukkan bahawa 94% daripada perolehan kerajaan Amerika diperolehi oleh syarikat tempatan Amerika (Khor, 2008) dan hanya 6% diberikan kepada 170 syarikat di seluruh dunia. Apakah yang akan terjadi kepada kontraktor tempatan kita terutamanya kontraktor minyak dan gas? Mampukah walau syarikat besar milik tempatan seperti Sapura Kencana dan MMHE sekalipun, bertahan menghadapi persaingan yang tidak bersimpati daripada negara maju? Apatah lagi nasib pemain-pemain industri kecil sederhana (SME). Program Pembangunan Vendor Petronas yang telah banyak membantu membangunkan industri gas dan minyak tempatan juga nampaknya bakal tersingkir daripada persaingan ini.

3-SME DAN PERTANIAN


TPPA juga bertujuan untuk membebaskan perdagangan dan mengurangkan tarif, yang akan menyebabkan kehilangan pekerjaan yang drastik dalam banyak sektor. Seterusnya ianya akan memberikan tekanan terus kepada gaji pekerja lantas meluaskan lagi jurang pendapatan yang sudah sedia ada. Mexico ialah contoh terbaik apabila hasil daripada  pemeteraian Perjanjian Perdagangan Besar Amerika Utara (NAFTA) dengan Kanada dan Amerika, tiga juta daripada sepuluh juta rakyat Mexico kehilangan pekerjaan.

Pengurangan tarif akan memberikan kesan langsung terutama kepada produk pertanian. Walaupun TPPA mempromosikan keberkesanan dan persaingan sihat, sebenarnya ianya tidak adil apabila sebenarnya lebih 90% syarikat Malaysia yang terlibat dalam sektor pertanian merupakan syarikat kecil dan sederhana (SME). Mereka akan menghadapi persaingan yang tidak seimbang daripada syarikat-syarikat gergasi pertanian daripada negara-negara seperti Amerika, Kanada dan Jepun, yang mana kerajaan tidak menurunkan pun subsidi yang besar kepada petani mereka. Kajian oleh UNCTAD menunjukkan bahawa subsidi telah merendahkan kos pengeluaran beras Amerika sebanyak 45%, kacang soya 32% dan kapas sebanyak 52%. Pengiraan kasar menunjukkan bahawa hasil beras mereka mampu memenuhi pasaran Malaysia serendah RM 1.40 sekilogram. Maka, apakah yang akan terjadi kepada BERNAS dan nasib pengeluar tempatan yang lebih kecil.

4- PATEN DAN HAK CIPTA HARTA INTELEK


Syarikat farmasi gergasi akan mendapat hak ke atas paten ubat-ubatan dan mengekalkan pegangan hak cipta lebih lama dengan cara yang lebih mudah. Hal ini akan melewatkan pengeluaran ubat generik dan penggunaan ubat-ubatan penyakit kronik dan melewatkan akses kepada ubat-ubatan untuk penyakit seperti kanser, HIV dan penyakit kronik lain. Sebagai contoh, Herceptin, yang digunakan untuk kanser pada masa kini memerlukan RM8,000 setiap rawatan dan memerlukan kepada 17 pusingan rawatan. Purata kos untuk rawatan pesakit kanser paru-paru boleh mencecah RM 44,725 setiap tahun untuk seorang pesakit. Peluang untuk mendapatkan rawatan ubat-ubatan ini semakin berkurang, terutamanya bagi mereka yang tidak mampu kerana harganya yang terlalu tinggi, apabila akses kepada ubat-ubatan generik akan dilewatkan melalui TPPA kerana negara maju akan menambah jangka hayat paten lebih daripada tempoh 20 tahun yang sedia ada sebelum TPPA dilaksanakan.

Bahagian Hak Cipta dalam TPPA juga akan mengakibatkan rawatan perubatan bertambah mahal untuk kebanyakan rakyat Malaysia. Aktiviti penyelidikan dan pendidikan juga akan menerima musibah dan kosnya meningkat disebabkan oleh undang-undang hak cipta yang lebih ketat dicadangkan. Ini termasuklah ‘digital commons’ atau harta umum digital seperti sumber maklumat daripada internet. Undang-undang hak cipta kini akan dipanjangkan hayatnya daripada 50 kepada 120 tahun. Maksudnya, 70 tahun lagi akses kepada pelajar dan dunia akademik diterhadkan, kerana harga buku rujukan dan sumber maklumat yang begitu tinggi.

5-KAWALAN MODAL


Salah satu kesan utama TPPA ialah pengehadan kemampuan untuk melaksanakan kawalan modal. Menurut Reinhart & Roghoff (2009), situasi pergerakan modal antarabangsa yang tinggi selalunya menimbulkan krisis perbankan antarabangsa, seperti yang berlaku kepada Malaysia dan rantau Asia Tenggara pada tahun 1997. Apabila sistem kewangan dikawal dengan baik, kemungkinan untuk kitaran kegawatan kewangan dapat dikawal, atau sekurangnya melindungi ekonomi daripada terdedah kepada kitaran kegawatan kewangan.

Dalam perkara ini, kita tidak menentang usaha untuk meliberalisasikan ekonomi demi mewujudkan persekitaran ekonomi yang lebih berkesan malah bukan juga untuk merosakkan peluang Malaysia untuk menarik pelaburan asing. Tetapi, ia bertujuan untuk bertindak sebagai “shock absorber” atau penyerap hentakan akibat daripada krisis-krisis ekonomi yang cenderung kepada ekonomi-ekonomi yang lebih liberal. Hal ini penting terutamanya untuk perniagaan-perniagaan dan perusahaan-perusahaan Malaysia yang masih lagi setahun jagung untuk menghadapi saingan asing. Malah IMF sendiri mengakui keberkesanan kawalan modal dalam mempercepatkan pemulihan ekonomi Malaysia berbanding Indonesia dan Thailand.

6-TELEKOMUNIKASI


Rancangan telekomunikasi di dalam TPPA adalah untuk mempromosikan persaingan ke atas pembekal telekomunikasi dalam kalangan negara anggota TPPA. Perusahaan telekomunikasi daripada negara-negara rakan TPPA akan diberikan akses kepada jaringan kemudahan telekomunikasi awam sedia ada melalui jaringan kemudahan dan akses kemudahan fizikal. Dalam hal ini, kita perlu prihatin terhadap keupayaan TM Berhad yang selama ini telah membangunkan infrastruktur fizikal telekomunikasi di Malaysia dan menghubungkan negara dengan jaringan kabel fiber optik kelajuan tinggi melalui skim Perkongsian Awam-Swasta (PPP). Apabila pesaing asing dibekalkan akses untuk menggunakan infrastruktur sedia ada, tentu sekali tekanan hebat ke atas prospek keutungan TM akan berlaku sehingga mengheret syarikat gergasi telekomunikasi ke dalam krisis dan gulung tikar.

7-CUKAI EKSPORT


Cukai ekport dikenakan kepada pengekport barangan utama. Cukai ini bertujuan menaikkan pendapatan kerajaan dan membangunkan industri perantara tempatan. Cukai ekport menaikkan harga bahan mentah dalam pasaran ekport menyebabkan produk akhir yang dihasilkan oleh pasaran tempatan lebih murah dan kompetitif berbanding produk yang dihasilkan oleh pasaran luar. TPPA mahu mengubah perkara ini.

Dengan mengurangkan atau menghapuskan cukai ekport, negara seperti Malaysia yang sebahagian besar eksportnya merupakan barangan mentah akan menyaksikan negara-negara rakan TPPA menikmati sumber-sumber kita dengan harga yang jauh lebih murah dan seterusnya membunuh pengeluar industri perantara tempatan seperti pembekal kelengkapan teknologi dan perabot, industri penapisan kelapa sawit dan pengeluar produk tani dan makanan.

8-PERDAGANGAN DAN FDI


Menurut laporan United Nations, tiada bukti yang menunjukkan peningkatan pelaburan asing (FDI) yang berkualiti daripada perjanjian-perjanjian perdagangan dua-hala selama ini. Benar, jika kita tidak menyertai TPPA, kemungkinan trade diversion atau perdagangan yang ‘lari’ daripada Malaysia kepada negara-negara TPPA tidak dapat dinafikan. Namun kerugian daripada trade diversion ini haruslah jelas dan dipastikan mempunyai manfaat yang lebih besar berbanding pelbagai musibah dan kerugian yang dibawa oleh TPPA kepada aspek-aspek lain ekonomi negara. Bagaimana, sebuah negara yang secara relatifnya mempunyai kekuatan ekonomi yang lebih kuat seperti Singapura, menyaksikan peningkatan dalam defisit perdagangan bermula dengan USD 1.4 bilion apabila mereka menandatangani perjanjian pada tahun 2003 kepada USD 4.3 bilion pada tahun 2004, USD 6.9 bilion pada tahun 2006 kepada USD 10.5 bilion pada tahun 2012.

Justeru implikasi TPPA ini besar kepada rakyat dan negara, maka kerajaan perlulah mengambil tindakan berikut terlebih dahulu sebelum memetarai perjanjian ini. Antaranya ialah:


Menangguhkan perundingan TPPA sehingga segala teks mengenainya didedahkan kepada rakyat untuk mendapatkan maklum balas. Rakyat berhak mengetahui dan diberikan hak memberi pandangan kerana perjanjian ini melibatkan kualiti hidup mereka.



Ahli parlimen perlu diberi pencerahan dan perlu membahaskan secara terperinci baik dan buruk perjanjian ini. Semasa membahaskan hal ini, ahli parlimen perlulah melihat perjanjian ini dari aspek kebaikannya untuk rakyat dan negara, bukannya berterusan terikat kepada kepentingan parti semata-mata.


Kerajaan juga mestilah menolak status layanan istimewa yang diberikan kepada syarikat-syarikat tempatan yang juga perlu diberikan kepada syarikat gergasi luar akibat perjanjian ini.

Sememangnya TPPA ini ada baiknya juga untuk negara kerana kita bergantung kepada kemasukan pelaburan luar untuk memacu ekonomi negara kita. Namun, perundingan TPPA ini perlu disemak semula dengan teliti oleh kerajaan kerana ia memberi kesan besar kepada rakyat. Sekiranya kerajaan mendapati keburukannya lebih banyak dari kebaikan, maka masih belum terlewat untuk kita menarik diri daripada perjanjian ini.


4 comments:

  1. jelas isu dan kesan jika Malaysia menyertai perjanjian TTPA mendtgkn bahana kpda ekonomi negara dari pelbagai sudut..sy setuju yang kerajaan Malaysia perlu menyelidik dengan telus and teliti kesan sebelum terlibat dengan perjanjian TTPA ini, supaya lebih berhati-hati kerana ianya merupakan agenda AS disifatkan sebagai penjajah ekonomi terhadap negara membangun.

    ReplyDelete
  2. Isu yang mantap. Mohon buat entry sambungan dari sudut pandang kebaikan TTPA dan Keburukannya secara lebih details.

    -120

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum..terima kasih atas komen yang diberikan. Perlu kita fahami bahawa sebenarnya TPPA ini membincangkan kira-kira 29 perkara utama dan sehingga sekarang lebih dari 15 perkara telah dipersetujui. Namun, yang telah terlepas bocor ke pengetahuan umum hanyalah 5 perkara sahaja. Saya akan cuba untuk mencari lagi maklumat berkenaan dari semasa ke semasa. In Shaa Allah 17hb ini saya akan ke Kementerian Kewangan (MoF) bagi membincangkan isu GST. Nantikan perkembangan isu GST selepas ini ea. Terima kasih atas keprihatinan anda semua...

    ReplyDelete