Labels

Monday, March 10, 2014

Aku dan Kelab Debat USIM...

Kenanganku bergelumang dalam arena perdebatan telah memanggil aku untuk menulis sedikit coretan ini.



Aku pada mulanya hanyalah seorang pelajar biasa yang mewakili Pusat Tamhidi dalam Kejohanan Debat Piala Naib Canselor USIM 2010. Ketika itu, aku bersama-sama rakan-rakan seperti Sarji Akmadis, Muhammad Faiz, Muna Majidah dan lain-lain telah sama-sama menempuhi kejohanan tersebut.


Dari titik itulah, aku mula melibatkan diri dalam dunia perdebatan. Langkahku tidak terhenti disitu. Meneruskan minatku ini dengan mengikuti senior-senior seperti Ikhwan Rosseli, Izad Shah, Irham Ibrahim, Ariff Bashiruddin dan lain-lain terus mengenalkan aku dengan arena perdebatan di peringkat kebangsaan.


Pada ketika itu, aku berminat melihat sesi perdebatan dan menilai setiap hujahan yang dilontarkan berbanding dengan menyertai secara langsung ke gelanggang perdebatan. Mungkin bagi rakan-rakan yang lain, mereka lebih selesa dengan turun sendiri ke gelanggang namun bagiku amat berbeza sekali.


Pada tahun yang sama, aku buat pertama kalinya mewakili USIM dalam Pertandingan Debat Diraja IPT 2010 yang diadakan di UTHM. Itulah kali pertama aku menyertai perdebatan di peringkat kebangsaan. Keputusan tidak memihak kepada diriku pada ketika itu. Banyak kelemahan serta perkara baru yang telah aku pelajari.


Aku mula bergiat dalam pengurusan debat apabila dipanggil untuk menjadi hakim ketika Pertandingan Debat Piala Naib Canselor USIM 2011. Walaupun aku baru setahun jagung ketika itu, namun aku cuba yang terbaik untuk tidak menghampakan dan ternyata aku mempelajari serba sedikit ilmu pengurusan perdebatan.



Dari situ, aku mula melibatkan secara serius dalam pengurusan perdebatan apabila menyertai pengurusan bagi Pertandingan Debat Bahasa Arab Antara Sekolah-Sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia Kali Ke-4 2011 sebagai ajk hadiah, sijil dan cenderamata. Walaupun bunyinya tampak mudah, namun pengalaman menyiapkan sijil peserta dari 50 buah sehingga pukul 3 pagi mengajar aku banyak perkara.


Kalender 2011 dipenuhi dengan melibatkan diri pada pertandingan-pertandingan debat seperti Debat Perdana Integriti 2011, Debat Alam Sekitar 2011 dan Debat Piala Perdana Menteri 2011 selain menyertai aktiviti-aktiviti dan program pengurusan debat seperti Team Building Kelab Debat 2011 dan Kejohanan Debat bahasa Arab Antara IPT ASEAN Kali Ke-5 masih kurasakan tidak mencukupi.


Jika orang lain merasakan kemenangan adalah suatu kebanggan buat mereka, bagiku melalui dari mulanya usaha sehingga mencapai kemenangan di kalangan rakan-rakan seperjuangan cukup menghiburkan hati ini.
Pengalaman berada dalam suatu 'keluarga besar' ini terlalu mahal ertinya buat diriku.


Hari-hari bahagia selalunya tidak berkekalan. Tidak dinafikan, aku juga mengalami hari-hari suram pada tahun 2012 dalam arena perdebatan ini. Aku telah diamanahkan dengan satu tanggungjawab yang cukup besar dengan memimpin Kelab Debat ke arah yang lebih gemilang. Kata orang, "Mencipta Kejayaan Lebih Mudah Dari Mengekalkannya". Aku mula mempelajari untuk menerima kebenarannya.


Bukan mudah untuk mengekalkan reputasi gemilang Kelab Debat ini. Aku terpaksa mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit dalam memeastikan kesinambungan Kelab Debat dapat diteruskan. Tanpa kusedari, aku telah mula jauh dari penglibatan selaku pendebat. Aku lebih selesa dengan menguruskan perdebatan dari menjadi seorang pendebat.


Ketika itu, pelbagai masalah dan ujian menimpa driku ini. Pelbagai episod duka lara menerjah diri. Namun, atas minatku terhadap 'keluarga besar' ini, aku teruskan perjuangan ini. Sehinggalah ke akhir-akhir perkhidmatanku selaku orang nombor satu Kelab Debat, aku menoleh ke belakang dengan menyaksikan masih banyak yang mahu aku lakukan bersama Kelab Debat. Masih begitu banyak hasrat dan impianku bersama Kelab Debat tidak tercapai lagi.


Namun, aku tidak pernah berasa menyesal atas penglibatan aku di arena perdebatan ini. Di sebalik semua ini, aku akan sentiasa merasa bangga bersama dengan Kelab Debat walau pun kini aku telah meninggalkan Kelab Debat secara rasminya namun secara tidak rasminya aku masih merasakan rohku masih bersama-sama dengan Kelab Debat dengan perjuangan yang masih belum selesai yang kini diteruskan oleh adik-adik junior.


Sehingga kini, Kelab Debat begitu banyak berjasa pada pembentukan diriku ini mengahdapi liku-liku kehidupan yang sentiasa mencabar. Kejayaan baru-baru ini juga ingin  ku dedikasikan kepada Kelab Debat. Diharapkan dengan sedikit kejayaan ini mampu meninggalkan secebis impian dan harapan yang lebih besar buat Kelab Debat untuk terus gemilang pada masa akan datang.


"MEMBINA PEWARIS LEGASI GEMILANG"

Mantan Pengerusi Kelab Debat USIM,
Sesi 2012/2013

5 comments:

  1. huhuhu... mnitis gak air mata ni akhirnya.. huhu

    ReplyDelete
  2. aku pon nanges jgak jat..sobs2..

    biasa2 saja Nurul Aiman

    saya pon rindukan KD jgak akak.. ^_^

    ReplyDelete