Labels

Thursday, June 26, 2014

World Heritage Youth Forum Qatar 2014



Pertamanya, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan diatas kepercayaan yang diberikan bagi mewakili Malaysia ke persidangan ‘World Heritage Youth Forum Qatar 2014’ baru-baru ini. Seperti yang diketahui, persidangan belia ini merupakan satu simulasi yang menyerupai persidangan UNESCO cuma ianya melibatkan golongan belia. Persidangan belia ini merupakan kali yang ketiga seumpamanya diadakan selepas persidangan belia di Kazan, Rusia dan Siem Riep, Kemboja. Persidangan belia yang dilangsungkan pada 3-15 Jun 2014 ini juga diadakan bersempena dengan Persidangan Jawatankuasa Warisan Dunia Kali Ke-38 yang berlangsung pada 15-25 Jun 2014 di Qatar.

Persidangan belia ini dihadiri oleh wakil-wakil dari 21 kerusi ahli jawatankuasa UNESCO semasa iaitu Algeria, Colombia, Croatia, Finland, Jerman, India, Jamaica, Jepun, Kazakhstan, Korea, Lebanon, Malaysia, Peru, Filipina, Poland, Portugal, Qatar, Senegal, Serbia, Turki dan Vietnam. Selain itu, persidangan belia pada kali ini turut dihadiri oleh negara-negara jemputan seperti Bahrain, Mesir, Kuwait, Mauritania, Morocco, Oman, Palestin, Arab Saudi dan Sudan. Antara objektif pelaksanaan persidangan belia pada kali ini adalah:

  • Memahami Konvensyen 1972 dan cabaran pelaksanaannya.
  • Meningkatkan kesedaran terutamanya bagi golongan belia mengenai budaya warisan negara masing-masing.
  • Menerangkan peranan arkeologi awam dan masyarakat setempat dalam pengurusan warisan.
  • Melahirkan golongan belia dengan kepakaran berkaitan bagi tujuan pemuliharaan dan pemeliharaan.
  • Mendedahkan kepada golongan belia bagaimana jawatankuasa UNESCO bekerja.
Berikut merupakan perkongsian aktiviti-aktiviti menarik yang saya lalui sepanjang persidangan belia pada kali ini:

LAWATAN KE ‘AL ZUBARAH FORT’
Al Zubarah Fort dibina pada 1938 atas arahan Sheikh Abdullah bin Jassim Al Thani untuk mengawal dan melindungi perairan utara barat Qatar. Ianya dibina bersama-sama sejumlah bangunan dan tembok yang lain yang menjadikan ianya sebagai satu pusat pertahanan yang mengawal selia laut dan sumber air mentah bagi Qatar pada ketika itu.

Ianya terus digunakan sebagai pusat tentera dan polis sehingga tahun 1986 apabila ianya dijadikan sebagai muzium oleh kerajaan Qatar. Pada tahun 2011, pembaikpulihan telah dijalankan dengan menggunakan kaedah dan bahan tradisional bagi mengekalkan ciri-ciri seni budaya asal yang sedia ada pada bangunan tersebut. Kini, tembok Al Zubarah ini merupakan pusat lawatan yang menceritakan mengenai Qatar dari segi sejarah, budaya dan alam semulajadi. Pameran yang menggunakan teknologi moden dan menarik telah berjaya meningkatkan jumlah pelancong untuk datang melawat dari semasa ke semasa.






LAWATAN KE ‘AL ZUBARAH ARCHEOLOGICAL SITE’
Tapak arkeologi Al Zubarah merupakan bekas tinggalan bandar Al Zubarah 250 tahun lalu. Ianya merupakan suatu penempatan kawasan bagi aktiviti pencarian mutiara dan perdagangan di Teluk Arab dan merupakan pusat perdagangan mutiara. Kemasyuran dan kekayaan bandar ini telah menyebabkan ianya diserang oleh kuasa-kuasa Arab yang lain pada ketika itu dan mengakibatkan bangunan-bangunan telah dimusnahkan. Ia kemudiannya ditinggalkan pada awal abad ke-20.

Sehingga kini, tapak berkeluasan kira-kira 60 hektar ini masih mengekalkan bekas-bekas tapak bangunan seperti rumah, masjid, pasar, tembok dan sebagainya. Pemuliharaan giat dijalankan bagi mengekalkan bekas-bekas tapak tersebut walaupun ianya berhadapan dengan ancaman tanah mendap dan ribut pasir yang sering melanda kawasan ini.







BENGKEL PEMULIHARAAN BARANG-BARANG TINGGALAN SEJARAH
Saya telah didedahkan mengenai penghasilan seni ukir terhadap barang-barang yang diperbuat dari sejenis tanah yang dikenali sebagai ‘gypsum’ dan diajar bagaimana untuk menghasilkannya. Saya juga diajar bagaimana untuk memulihkan serta memelihara seni ukir barang-barang yang diperbuat dari tanah ‘gypsum’ tersebut sekiranya ianya telah rosak atau cacat.

Selain itu, saya juga telah diajar bagaimana untuk memulihara barang-barang yang diperbuat daripada kayu seperti pintu, tingkap dan juga alang bumbung bagi bangunan-bangunan lama untuk mengekalkan ketahanan ciri-ciri dan keaslian bahan sesebuah bangunan.








PEMBENTANGAN TAPAK-TAPAK WARISAN DUNIA OLEH SETIAP DELEGASI
Setiap delegasi diminta untuk membentangkan mengenai tapak warisan dunia yang terdapat di negara masing-masing. Maka, saya juga tidak terkecuali dan kesempatan ini telah diambil dengan memberikan penerangan mengenai tapak warisan yang terdapat di Malaysia. Secara umumnya Malaysia mempunyai 4 tapak warisan dunia iaitu:
  • Taman Negara Mulu, Sarawak.
  • Taman Negara Kinabalu, Sabah.
  • Melaka dan Georgetown, Sejarah Bandar-Bandar Selat Melaka.
  • Tapak Arkeologi Lenggong, Perak.

Saya bersama saudari Ju Ariana Ibrahim telah membahagikan penerangan kami dimana saya menerangkan mengenai Taman Negara Mulu dan Taman Negara Kinabalu manakala saudari Ju Ariana Ibrahim pula menerangkan mengenai Melaka & Georgetown dan tapak arkeologi Lenggong.







LAWATAN KE ISTANA LAMA DI DOHA
Saya telah dibawa ke istana lama yang kini dalam proses pemuliharaan yang terletak di ibu negara Qatar, Doha. Istana lama ini didiami oleh pemimpin-pemimpin Qatar sebelum ini. Pemuliharaan semula istana lama ini adalah bertujuan untuk menjadikan ia sebagai sebahagian daripada Muzium Negara Qatar. Pelan pembangunan Muzium Negara Qatar ini telah meletakkan istana lama ini di tengah-tengah bangunan muzium sekaligus menjadikan ia sebagai sebahagian daripada bangunan Muzium Negara Qatar.

Pemuliharaan semula istana lama ini memerlukan penelitian dimana ianya melibatkan struktur-struktur bangunan yang tidak kukuh dan pengemasan semula giat dijalankan dengan menggunakan bahan-bahan yang sama seperti yang digunakan untuk membina istana lama sebelum ini.







LAWATAN KE KATARA, CULTURAL VILLAGE
Saya juga dibawa melawat ke perkampungan budaya Katara. Perkampungan terancang ini terdiri dari pelbagai bangunan yang menempatkan galeri-galeri seni, pentas teater, auditorium, masjid dan sebagainya. Katara juga merupakan terletaknya pejabat Kementerian Kebudayaan dan Warisan Qatar yang bertanggungjawab menguruskan hal ehwal budaya dan warisan Qatar.








LAWATAN KE MUSEUM OF ISLAMIC ART (MIA)
Saya telah dibawa melawat Muzium Kesenian Islam atau lebih dikenali sebagai MIA. Di sini, saya telah dimaklumkan bahawa terdapat lebih dari 3000 barang yang memiliki seni Islam dipamerkan di dalam muzium ini. Hampir kesemua barang-barang yang memiliki kesenian Islam ini dibeli dari muzium-muzium luar negara dan dikumpulkan di sini.

Antara barang-barang tersebut termasuklah, tembikar, karpet, lembaran mushaf, barang kemas, lukisan, khaligrafi dan sebagainya. Muzium ini juga memiliki koleksi sejarah asal usul permainan chess yang mula diperkenalkan pada abad ke-7 dari India dan perkembangannya sehingga ke Sepanyol pada abad ke-20.












LAWATAN KE SOUQ WAQIF
Souq Waqif atau lebih dikenali sebagai pasar malam merupakan suatu tempat berlakunya jual-beli pelbagai barangan seperti makanan, pakaian, barang-barang hiasan, barang kemas dan sebagainya. Sudah semestinya ia merupakan tempat yang paling digemari terutamanya bagi mereka yang minat membeli belah.

Souq Waqif mengekalkan seni bina bangunan pasar lama dan diperkukuhkan dengan pembaikkan struktur-struktur bangunan agar ianya masih utuh. Menariknya di Souq Waqif ini, akan ada persembahan kebudayaan Arab khususnya Arab Qatar oleh masyarakat setempat yang menjadikan pasar ini semakin menarik untuk dikunjungi.










SIMULASI PERSIDANGAN BELIA (PERSIDANGAN KOMITI UNESCO)
Simulasi Persidangan Belia pada kali ini telah berlangsung selama 4 hari. Mengambil format dari persidangan sebenar, ianya dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh setiap wakil dari 21 negara kerusi tetap dan kemudiannya pembentangan serta perdebatan agenda-agenda sehingga ke pengundian bagi mengesahkan kenyataan bersama dan diakhiri dengan penutupan persidangan dengan membentangkan kenyataan bersama tersebut di pembukaan Persidangan Jawatankuasa Warisan Dunia Kali Ke-38 pada malam 15 Jun 2014.

Namun, persidangan kali ini menampakkan sedikit perbezaan apabila wakil-wakil bagi setiap negara ahli mestilah tidak terdiri dari mereka yang berasal dari negara yang sama. Saya sendiri telah ditugaskan bagi mewakili negara Jamaica manakala saudari Ju Ariana Ibrahim pula mewakili negara Qatar pada persidangan kali ini.













LAWATAN KE PUSAT BANDARAYA DOHA
Qatar kini pesat membangun hasil daripada melimpahnya kekayaan negara hasil penjualan minyak dan gas dari dasar laut perairan negaranya. Pembangunan di Qatar baru sahaja bermula kira-kira 10 tahun yang lalu. Namun, kini dengan pelbagai bangunan dengan reka bentuk yang moden telah menjadikan Bandaraya Doha, antara bandaraya yang paling berprestij di dunia.


























Hakikatnya, masih terdapat banyak ruang dan peluang yang boleh diberikan kepada golongan belia untuk turut sama berusaha dalam pengurusan, pemuliharaan dan pemeliharaan warisan budaya dan tapak warisan dunia. Golongan muda yang sememangnya dikenali sebagai golongan yang memiliki semangat yang kental dan aktif perlulah dimanfaat dan digembleng bersama-sama dalam meningkatkan kesedaran dan memupuk masyarakat akan kepentingan warisan budaya dan tapak warisan dunia.

Cadangan serta pandangan golongan belia juga mestilah diambil kira dalam proses dan halatuju memantapkan lagi usaha pengurusan, pemulihan dan pemeliharaan warisan budaya dan tapak warisan dunia memandangkan golongan belia merupakan kira-kira 25% daripada jumlah keseluruhan penduduk di dunia.

Kesedaran akan kepentingan warisan budaya dan tapak warisan dunia juga merupakan perkara yang amat penting dalam memastikan generasi akan datang terus menghargai dan memelihara warisan yang tidak ternilai ini. Maka, persiapan golongan belia dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran pada masa ini merupakan perkara yang seharusnya dititikberatkan agar dapat menjamin kesinambungan pengurusan, pemuliharaan dan pemeliharaan warisan budaya dan tapak warisan dunia.

Golongan belia juga seharusnya diberikan peluang dalam memainkan peranan yang penting untuk menggerakkan masyarakat tempatan agar terus menghargai dan memelihara warisan budaya dan tapak warisan dunia. Golongan belia merupakan agen penggerak yang paling berkesan dalam menerapkan kepentingan penghayatan dan penilaian terhadap warisan budaya dan tapak warisan dunia.

Diharapkan dengan pelaksanaan persidangan belia ini mampu menjadi asas sumbangan golongan belia dalam pengurusan, pemuliharaan dan pemeliharaan warisan budaya dan tapak warisan dunia seterusnya membuka lebih banyak ruang kepada golongan belia untuk sama-sama memperjuangkan kepentingan warisan budaya dan tapak warisan dunia.

Akhir kata, sekiranya khidmat saya masih diperlukan pada masa akan datang dalam apa jua bidang yang melibatkan kepentingan negara, saya sentiasa bersedia untuk berbakti dalam membawa nama negara ke persada dunia. Sekian, terima kasih.




2 comments:

  1. salam bro, pergi ke convention ni berdasarkan tiket apa ye? berminat jugak nak ikut jejak langkah bro hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wasalam..
      Saya dapat maklumat dan jemputan megenai program ini dari Kementerian Pendidikan. Mereka offer untuk saya isi application form dan dihantar bersama-sama application lain ke UNESCO untuk dipilih dan alhamdulillah saya terpilih. ^_^

      Delete