Labels

Sunday, October 12, 2014

BAJET 2015: Ekonomi Keperluan Rakyat?

Assalamualaikum w.b.t,

Seperti tahun-tahun sebelum, saya akan melakukan sedikit analisa mengenai intipati Belanjawan Negara. Maka, tahun ini juga tidak terkecuali apabila saya akan berkongi mengenai beberapa perkara yang patut diberi perhatian dengan terbentangnya Rang Undang-Undang Perbekalan 2015 dengan tema ‘Ekonomi Keperluan Rakyat’ ini.



Bajet 2015 pada kali ini telah menggariskan tujuh strategi utama iaitu:
Strategi Pertama: Memperkukuh Pertumbuhan Ekonomi
Strategi Kedua: Memantap Tadbir Urus Fiskal
Strategi Ketiga: Mengupaya Modallnsan dan Keusahawanan
Strategi Keempat: Memperkasa Agenda Bumiputera
Strategi Kelima: Memartabat Peranan Wanita
Strategi Keenam: Membangun Program Transformasi Belia Negara
Strategi Ketujuh: Mensejahtera Rakyat

Pada tahun ini, saya tidak akan menyentuh mengenai perincian setiap jenis belanjawan yang dibentangkan namun saya akan menekankan beberapa isu atau perkara penting di dalam Bajet 2015.



ISU PERTAMA
Isu pertama yang perlu diambil perhatian pada Bajet 2015 adalah ianya masih mengekalkan rekod sebagai Belanjawan Kurangan atau kata lainnya Bajet Defisit seperti tahun-tahun sebelumnya yang bermula sejak tahun 1998 (17 tahun berturut-turut).



ISU KEDUA
Dengan pengumuman Bajet Defisit ini, kerajaan secara dasarnya akan menambahkan lagi jumlah hutang negara sebanyak RM38.76 billion menjadikan jumlah keseluruhan hutang negara mencecah kira-kira RM716.5 billion. Ini bererti had hutang siling negara telah ditembusi apabila jumlah hutang terkini bakal menyaksikan hutang negara pada kira-kira 60% KDNK berbanding siling yang dibenarkan sebanyak 55% KDNK.

ISU KETIGA
Mengikut pecahan perbelanjaan kerajaan, telah dinyatakan bahawa sebanyak RM223.4 billion atau 81.54% dari jumlah keseluruhan RM273.96 billion Bajet 2015 merupakan Belanjawan Mengurus manakala bakinya iaitu sebanyak RM50.5 billion atau 18.56% merupakan Belanjawan Membangun. Ini menunjukkan kerajaan telah memperuntukkan satu jumlah yang terlalu besar hanya untuk dibelanjakan dalam jangka masa pendek berbanding hanya sedikit sahaja diperuntukan untuk dibelanjakan sebagai pelaburan jangka masa panjang.



ISU KEEMPAT
Pelaksanaan GST pada tahun April 2015 dianggarkan bakal memberikan kerajaan pendapatan sebanyak RM23.5 billion. Namun, setelah mengambil kira penyusutan pendapatan kerajaan sebanyak RM13.8 billion akibat pemansuhan SST akan menyaksikan kerajaan memiliki lebihan kutipan hasil sebanyak RM9.7 billion. Dari jumlah ini, sebanyak RM4.9 billion digunakan untuk pakej-pakej bantuan seperti BR1M. Maka, hasil negara masih berbaki kira-kira RM4.8 billion tetapi mengapa kerajaan mengumumkan bahawa baki bersih dari kutipan GST hanya sebanyak RM690 juta. Kemanakah perginya RM4.11 billion lagi disalurkan?

ISU KELIMA
Masih berkisar mengenai GST. Kerajaan telah berjanji akan menyediakan Shoppe Guide bagi memudahkan rakyat membuat perbandingan harga barangan sebelum dan selepas pelaksanaan GST. Persoalannya, apakah jaminan kerajaan bahawa penyusutan RM13.8 billion hasil negara hasil pemansuhan SST ini akan seiring dengan pengurangan harga barangan sebanyak 10% (jumlah cukai SST) kemudiannya baru dikenakan GST sebanyak 6%? Sekiranya, harga barangan yang dikenakan SST tidak menurun selepas dikenakan GST, ini bermakna kerajaan telah gagal mengeluarkan jumlah 10% SST tersebut yang mengakibatkan keuntungan secara PERCUMA sebanyak 10% kepada pihak pengeluar.



ISU KEENAM
Skim Perumahan Belia. Skim ini menyaksikan satu lagi kelemahan strategi pihak kerajaan apabila kerajaan hanya memberi bantuan bagi golongan belia yang telah berumahtangga memiliki rumah dengan bantuan kewangan sebanyak RM200 sebulan pada 2 tahun pertama dengan tempoh pinjaman maksima sebanyak 35 tahun. Beberapa kelemahan telah dikenalpasti iaitu:
1-Penawaran hanya terhad sebanyak 20,000 unit rumah sahaja.
2-Penawaran hanya bertumpu di kawasan Lembah Klang dan Kuala Lumpur sahaja.
3-Penawaran tidak menyelesaikan masalah kekangan deposit pembelian rumah.
4-Penawaran tidak pun menyelesaikan isu harga rumah yang kian meningkat.
5-Penawaran tidak pun berjaya mengawal ketamakkan pemaju perumahan yang menghadkan jumlah pembinaan rumah kos rendah atau mampu milik dalam kuantiti yang AMAT SEDIKIT.



ISU KETUJUH
BR1M. Peningkatan jumlah pembayaran BR1M kepada RM950 seorang berbanding RM650 bagi isi rumah berpendapatan RM3,000 sebulan dan kebawah dan pembayaran RM700 seorang berbanding RM450 seorang bagi isi rumah berpendapatan RM3,000 hingga RM4,000 sebulan dengan kira-kira seramai 6 juta penduduk terlibat menyaksikan kerajaan bakal membazirkan sejumlah RM5.7 billion hanya untuk dibelanjakan secara one-off atau perbelanjaan pasif dimana perbelanjaan ini merupakan suatu tindakan ekonomi yang tidak sihat.



ISU KELAPAN
Kenaikan gaji ahli-ahli parlimen. Telah diumumkan bahawa gaji ahli-ahli parlimen seramai 222 orang telah dinaikkan dari Gred 54 ke JUSA C. Bukan untuk menidakkan jasa dan pengorbanan mereka untuk negara, tetapi di dalam keadaan ekonomi negara yang kurang memberangsangkan ini ternyata mereka juga mengambil kesempatan untuk menjaga periuk nasi sendiri. Sekiranya mereka dinaikkan gaji, mengapa tidak kakitangan awam yang lain? Bagaimana pula dengan nasib pekerja swasta yang tidak menerima sebarang kenaikan gaji? Bagaimana dengan nasib rakyat yang masih bergaji bawah RM1,000?

Akhir kata, masih terdapat banyak lagi belanjawan-belanjawan di dalam Bajet 2015 yang boleh dianalisa dan dikaji semula akan kesesuaian dan keperluan belanjawan tersebut dilaksanakan. Ini adalah perlu bagi memastikan bahawa setiap sen duit negara dapat digunakan secara efektif dan memberi impak kepada rakyat dan negara. Setakat itu sahaja perkongsian pada kali ini. Sekian, terima kasih.


No comments:

Post a Comment