Labels

Wednesday, December 17, 2014

MALAYSIA TANAH TUMPAH DARAHKU: HARGA MINYAK TURUN, NILAI RINGGIT MALAYSIA TURUN, PASARAN SAHAM TURUN, HARGA KOMODITI MINYAK SAWIT DAN GETAH TURUN, KADAR FAEDAH PINJAMAN NAIK, INFLASI DIJANGKA NAIK, HUTANG NEGARA NAIK, KRISIS 1MDB YANG LUAR BIASA


HARGA MINYAK TERUS MENURUN
Trend penurunan harga minyak mentah dunia terus berlaku dalam masa 1-2 bulan ini dengan menyaksikan penurunan dari USD $110 setong kepada kira-kira USD $66 setong. Ini juga menyebabkan kerajaan terus membuat keputusan dengan merasionalisasikan subsidi bahan api yang bakal menjimatkan perbelanjaan kerajaan kira-kira RM24.8 billion setahun (Bahagian Penerbitan Negara, Jabatan Penerangan Malaysia 2013).



NILAI RINGGIT MALAYSIA TERUS MENYUSUT
Ringgit Malaysia terus menyusut sejajar daripada penurunan harga minyak mentah dunia yang menyaksikan penurunan sebanyak 2.4% kepada RM3.4375 bagi setiap USD $1 (01 Disember 2014). Kejatuhan mata wang ini juga turut diikuti oleh negara-negara pengular minyak (net exporter) lain seperti Mexican Peso mengalami kejatuhan sebanyak 9.9%, Norweign Krone jatuh 14.75%, Russian Rouble jatuh 55% dan Canadian Dollar jatuh 5.6%. Mereka adalah negara pengeluar minyak yang besar di pasaran antarabangsa dan ekonomi negara-negara tersebut bergantung kepada hasil petroleum melalui eksport seperti Malaysia. 



PASARAN SAHAM MALAYSIA JATUH
Indeks Bursa Saham Malaysia FBM KLCI jatuh lebih 40 mata atau 2.5% didorong kejatuhan harga kaunter mewah (blue chips) dan kaunter berkaitan minyak dan gas serta syarikat subsidiari Petronas seperti Petronas Dagangan, Petronas Chemical dan Petronas Gas (01 Disember 2014). 

Pengumuman PETRONAS baru-baru ini yang mahu memotong perbelanjaan modal atau capital expenditure (CAPEX) tahun depan juga menyebabkan pelabur-pelabur menarik keluar wang pelaburan (saham, bon, matawang) mereka dari pasaran tempatan kerana jika Petronas memotong CAPEX mereka, pendapatan syarikat-syarikat perkhidmatan minyak dan gas (O&G) akan terjejas dan harga saham berkaitan akan jatuh.



HARGA KOMODITI MINYAK SAWIT DAN GETAH TERUS JATUH
Harga komoditi eksport utama Malaysia ini terus jatuh dari paras teringgi 2014 sebanyak RM2,910 kepada RM2,160 bagi setiap tan(1,000 kg) pengeluaran (15 Disember 2014). Begitu juga dengan harga getah yang turut sama mengalami kejatuhan dari paras tertinggi 2014 sebanyak RM3.05 kepada R1.86 bagi setiap kg (15 Disember 2014).



KADAR BLR (BASE LENDING RATE) DAN BFR (BASE FINANCING RATE) MENINGKAT
Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), Bank Negara Malaysia telah mengambil keputusan untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus. Berikutan itu, kadar terendah dan kadar tertinggi koridor OPR masing-masing dinaikkan kepada 3.00 peratus dan 3.50 peratus. Sehubungan itu, bank-bank tempatan seperti Maybank, CIMB Bank, Affin Bank, RHB Bank, Bank Simpanan Nasional,  Bank Islam masing-masing menaikkan kadar BLR dan BFR kepada 6.85% dan Bank Muamalat kepada 6.90% (17 Julai 2014).



INFLASI NEGARA DIJANGKA NAIK 4% MENJELANG 2015
Agensi penarafan rating kredit antarabangsa, Fitch Rating dan Standard & Poor meletakkan hutang & kewangan Malaysia masih lagi di paras A-. Begitu juga dengan kedudukan A3 yang diberikan Moody. Moody setakat ini masih lagi mengekalkan prospek penarafan pada kedudukan “positif” manakala Standard & Poor adalah “stabil” dan Fitch Rating pula mempunyai pandangan “negatif” terhadap Malaysia.

Kali terakhir semakan paras dan kadar inflasi Malaysia 2014 adalah pada bulan Ogos yang mencatatkan kadar inflasi di Malaysia berada pada paras 3.3% yang mana kadar inflasi mula mencecah 3% sejak Disember 2013 yang lalu dek kerana pemotongan subsidi minyak, elektrik dan gula yang akan terus melonjak untuk pembukaan tahun 2015 kelak. Ini juga termasuk dengan pelaksanaan GST 6% yang akan bermula pada 01 April 2015 terus menguatkan tekanan kenaikkan inflasi sebanyak 4% yang akan diterjemahkan dengan kenaikkan harga barang berikutan penyusutan nilai Ringgit Malaysia.



HUTANG NEGARA SEMAKIN NAIK
Hutang negara terus meningkat melepasi had siling 55% dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada USD $224,306,557,377 atau RM784,664,176,094 bersamaan dengan kira-kira 63% dari KDNK (The Economist, 2014). Kenaikkan ini juga mendorong kepada pembayaran faedah hutang yang lebih tinggi seterusnya menjerumus kepada pengeluaran wang yang lebih banyak (money outflow) ke luar negara.



HUTANG 1MDB YANG LUAR BIASA
Dengan berbekalkan modal berbayar hanya sebanyak USD $1 juta, 1MDB kini menanggung hutang sebanyak RM41.9 billion. Beberapa transaksi meragukan seperti membeli janakuasa bebas dari taikun billionair negara dengan nilai yang tinggi, pelaburan sebanyak RM6 billion di Cayman Island dalam bentuk hedge fund (cabang judi), terikat dengan pembayaran kadar faedah hutang kepada Goldman Sachs sejumlah 11%, pembelian 2 bidang tanah di Pulau Pinang dengan nilai RM1.4 billion jauh lebih tinggi dari harga pasaran, pemberian pinjaman kepada Petrosaudi sebanyak hampir RM6 billion tanpa mengetahui secara jelas latar belakang Petrosaudi dan juga keengganan KPMG (salah satu dari Big 4 firma audit dunia) melakukan audit untuk 1MDB terus menjadi tanda tanya.



KESIMPULAN

Jika diamati krisis kewangan Asia Tenggara yang melanda negara pada tahun 1997-1998 dahulu, Malaysia bakal menghadapi situasi yang lebih teruk pada kali ini. Ini kerana pada ketika itu, walaupun Ringgit Malaysia telah jatuh sehingga RM4 bagi setiap USD $1, kejatuhan pasaran saham dan berlakunya kenaikkan kadar faedah pinjaman (BLR), namun ekonomi negara didokong oleh harga minyak mentah dan harga komoditi minyak kelapa sawit yang tinggi pada masa itu.

Namun, jika dilihat pada keadaan semasa, satu formula terhasil:

Harga Minyak Mentah + Nilai Ringgit Malaysia + Pasaran Saham + Harga Komoditi Minyak Sawit dan Getah + Kadar Faedah Pinjaman + Inflasi + Hutang Negara + Krisis 1MDB = Krisis Kegawatan Ekonomi

Maka, pembaca boleh menilai sendiri apa yang bakal terjadi pada ekonomi negara kita. Seharusnya kita semua perlu mengambil langkah berjaga-jaga mengenai sebarang kemungkinan termasuklah krisis ekonomi yang bakal melanda negara mulai saat ini. Sekian, terima kasih.


p/s: Lupa pula, terima kasih kerajaan BN. UMNO terus mara untuk rakyat Malaysia -_- 

1 comment:

  1. Hello, i am Puan Emiliana wilson, seorang pemberi pinjaman pinjaman diiktiraf secara global dan menyediakan pinjaman peluang seumur hidup. Adakah anda memerlukan pinjaman segera untuk membayar hutang anda atau anda memerlukan pinjaman untuk meningkatkan perniagaan anda? Adakah anda pernah ditolak oleh bank-bank dan institusi kewangan lain? Adakah anda memerlukan pinjaman penyatuan atau gadai janji? Cuma perlu kerana kita berada di sini untuk semua masalah kewangan anda pada masa lalu. Kami memberi pinjaman kepada individu yang memerlukan bantuan kewangan, yang mempunyai kredit yang buruk atau memerlukan wang untuk membayar bil-bil, untuk melabur dalam perniagaan dalam kadar 2%. Saya mahu menggunakan medium ini untuk memberitahu anda bahawa kami adalah global syarikat pinjaman terkemuka, boleh dipercayai dan memberikan penerima bantuan dan akan bersedia untuk menawarkan pinjaman. Jadi hubungi kami hari ini melalui e-mel di: emilianawilson11@gmail.com

    ReplyDelete