Labels

Thursday, October 29, 2015

BAJET 2016 : MENSEJAHTERA KEHIDUPAN RAKYAT

Assalamualaikum WBT,


Atas permintaan beberapa rakan penulis, maka penulis akan mengulas serba sedikit mengenai BAJET 2016 yang baru sahaja dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak di Parlimen pada 23 Oktober 2015 baru-baru ini.

Dengan bertemakan “MENSEJAHTERA KEHIDUPAN RAKYAT”, ternyata ianya merupakan kesinambungan dari bajet 2015 yang bertema “EKONOMI KEPERLUAN RAKYAT” dimana aspek yang diberi penekanan merujuk kepada rakyat. Ianya merupakan satu titik fokus dimana kerajaan pada dasarnya perlu untuk mengimbangkan perkembangan ‘People Economy’ dan juga ‘Capital Economy

BAJET 2016 pada kali ini telah menggariskan 5 Keutamaan iaitu:

  • Keutamaan Pertama: Memperteguh Ketahanan Ekonomi Negara
  • Keutamaan Kedua: Meningkatkan Produktiviti, Inovasi dan Teknologi Hijau
  • Keutamaan Ketiga: Mempersiaga Modal Insan
  • Keutamaan Keempat: Memperkasa Agenda Bumiputera
  • Keutamaan Kelima: Meringankan Kos Sara Hidup Rakyat


PENINGKATAN KUASA BELI (PURCHASING POWER) DAN PENGURANGAN KOS SARA HIDUP

Kerajaan dilihat membuat beberapa keputusan drastik berkenaan kos sara hidup terutamanya buat golongan B-40 dan juga M-40. Ini termasuklah menambah nilai pelepasan cukai pendapatan individu dalam beberapa perkara seperti berikut:

1.    Pelepasan cukai pasangan tidak bekerja naik dari RM3,000 kepada RM4,000
2.    Pelepasan cukai ibu bapa RM1,500 setiapnya (Ibu RM1,500 dan Bapa RM1,500)
3.    Pelepasan cukai anak meningkat dari RM6,000 kepada RM8,000 bagi anak berusia 18 tahun keatas yang melanjutkan pengajian di IPT
4.    Pelepasan yuran pengajian tinggi naik dari RM5,000 kepada RM7,000

Pelepasan-pelepasan cukai ini akan memberikan sedikit pertambahan kuasa beli terutamanya bagi golongan M-40. Selain itu, bagi B-40, bantuan-bantuan berikut diberikan untuk mengurangkan bebanan kos sara hidup iaitu:
  1. BR1M (Kategori RM1,000 ke bawah: RM1,050) (Kategori RM1,001 – RM3,000: RM1,000) (Kategori RM3,001 – RM4,000: RM800) dan (Kategori Bujang 21 Tahun ke atas: RM400)
  2. Skim Khairat Kematian: RM1,000
  3. Gaji Minimum: RM1,000 mulai Julai 2016 (Penjawat Awam: RM1,200)
  4. Pemberian Khas: Penjawat Awam RM500 dan pesara kerajaan RM250
  5. Kadar Pencen Minimum: RM950
  6. Program Rancangan Makanan Tambahan sekolah: meliputi sarapan dan makan waktu rehat
  7. Insentif Pengeluaran Getah: 20 sen setiap kilo getah
  8. Skim Subsidi Harga Padi: RM300 bagi setiap tan metrik pengeluaran

Selain itu, terdapat bantuan-bantuan perniagaan bagi meningkatkan pendapatan golongan B-40 serta mengeluarkan golongan ini menuju kepada M-40 seperti:

1.    RM500 juta Skim Pembangunan Usahawan Bumiputera
2.    RM100 juta Skim Pembangunan Usahawan India
3.    RM200 juta pembiayaan mikro bagi usahawan golongan B-40
4.    RM100 juta Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India
5.    RM90 juta pembiayaan mikro kredit bagi penjaja-penjaja Cina melalui KOJADI
6.    RM100 juta bagi program meningkatkan kemahiran golongan B-40
7.    RM100 juta bagi program eRezeki dan eUsahawan bagi golongan B-40


KOS PERUMAHAN DAN PELUANG PEKERJAAN

Dalam menangani masalah kos perumahan yang semakin meningkat, kerajaan telah melakukan beberapa inisiatif iaitu:

1.    175,000 unit PRIMA dengan harga 20% bawah dari harga pasaran
2.    10,000 unit Rumah Mesra Rakyat dengan subsidi RM20,000 setiap unit
3.    100,000 unit Rumah Penjawat Awam 1 Malaysia (RM90,000 – RM300,000)
4.    22,300 unit pangsapuri dan 9,800 unit rumah teres bawah Program Perumahan Rakyat (PPR)
5.    20,000 unit rumah FELDA, 2,000 unit rumah FELCRA dan 2,000 unit rumah RISDA
6.    Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama

Antara semua, Skim Pembiayaan Deposit Perumahan Pertama dilihat sebagai penyelesaian masalah terutamanya bagi golongan muda/belia dalam mendapatkan rumah sebagai satu keperluan hidup. Namun yang demikian, kerajaan dilihat tidak memberikan perhatian khusus terhadap membina peluang pekerjaan dengan hanya menawarkan 15,000 tempat untuk Skim Latihan 1Malaysia (SL1M). Tiada inisiatif lain yang mampu menyediakan peluang pekerjaan terutama terhadap kira-kira 400,000 graduan yang sedang menganggur.

Namun, terdapat beberapa projek yang dijangka mampu menyediakan peluang  pekerjaan baru di masa hadapan seperti:

1.    Malaysian Vision Valley (108,000 hektar dengan nilai permulaan RM5 billion)
2.    Cyber City Centre (RM11 billion dalam tempoh 5 tahun)
3.    Bandar Lapangan Terbang atau Aeropolis KLIA (1,300 hektar)
4.    RAPID Complex, Pangerang (RM18 billion)
5.    Rubber City, Kedah (RM320 juta)
6.    Taman Perindustrian Simalajau, Sarawak (RM142 juta)
7.    Jeti Minyak Kelapa Sawit Sandakan, Sabah (RM20 juta)
8.    Pelaburan RM6.7 billion oleh Khazanah dalam 9 projek berimpak tinggi

Di dalam menyediakan peluang pekerjaan, kerajaan seharusnya melihat semula had umur persaraan. Di dalam menuju negara berpendapatan tinggi, kerajaan seharusnya mengurangkan had umur persaraan sedia ada pada umur 60 tahun kepada had umur yang lebih rendah. Ini sekali gus membuka lebih peluang pekerjaan terutamanya buat generasi muda.


BAJET PRU SARAWAK

Sekiranya diperhatikan dengan teliti, BAJET 2016 pada kali ini lebih bermotifkan sebagai gula-gula kerajaan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak (political mileage) yang dijangka diadakan pada awal tahun hadapan. Ini setelah melihat insentif-insentif khusus bagi Sarawak dan juga Sabah seperti berikut:

1.    Lebuhraya Pan Borneo Sarawak (1,090km) dan Lebuhraya Pan Borneo Sabah (706km) tanpa tol
2.    Pengangkutan Penumpang Udara Domestik di Sabah dan Sarawak dikecualikan GST
3.    Pinjaman Pembiayaan Rumah Panjang
4.    RM70 juta subsidi padi huma
5.    RM260 juta bagi Program 1Harga 1Sarawak dan Program 1Harga 1Sabah
6.    RM115 juta bagi Project Native Customary Right dan Native Court (Mahkamat Adat)


IMPAK PERBELANJAAN MENGURUS VS PERBELANJAAN MEMBANGUN

Jika dilihat dari sudut pengagihan antara perbelanjaan mengurus (Operating Expenditure) dan juga perbelanjaan membangun (Development Expenditure), kita dapat lihat bahawa pada BAJET 2016 menunjukkan hanya sedikit peningkatan dalam perbelanjaan membangun iaitu RM52 billion pada 2016 berbanding RM50.5 billion pada tahun 2015. Ini bermakna hanya berlaku penambahan RM1.5 billion atau 3% sahaja kenaikan dan ianya pada 19.47% atau kira-kira 1/5 dari jumlah keseluruhan perbelanjaan negara, satu angka yang masih boleh dikatakan agak kecil dalam merancakkan perkembangan ekonomi negara.

Bagi perbelanjaan mengurus, kerajaan telah melakukan satu tindakan drastik iaitu mengurangkan perbelanjaan mengurus daripada RM223.4 billion pada tahun 2015 kepada RM215.2 billion pada tahun 2016. Pengurangan sebanyak RM8.2 billion atau 3.67% ini merupakan satu perkara yang perlu dimana untuk mengurangkan bebanan kerajaan. Namun pembahagian pengurangn perbelanjaan mengurus ini dilihat memberi kesan terutamanya beberapa kementerian seperti:
  1. Kementerian Kewangan: RM39.25 billion (2015) kepada RM32.43 billion (2016) = RM6. billion atau 17.8%
  2. Kementerian Pengajian Tinggi: RM15.78 billion (2015) kepada RM13.38 billion (2016) = RM2.4 billion atau 15.21%
  3. Kementerian Perusaharaan, Perladangan & Komoditi: RM1.66 billion (2015) kepada RM651 juta (2016) = kira-kira RM1 billion atau 60.78%
  4. Kementerian Pengangkutan: RM4.6 billion (2015) kepada RM3.99 billion (2016) = RM648 juta atau 14.1%
  5.  Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air: RM2.69 billion (2015) kepada RM2.26 billion (2016) = RM605 juta atau 22.49%
  6. Kementerian Pertahanan: RM17.76 billion (2015) kepada 17.3 billion (2016) = RM459 juta atau 2.6%
  7. Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan: RM4.57 billion (2015) kepada RM4.17 billion (2016) = RM399 juta atau 8.73%

Pengurangan-pengurangan ini akan secara keseluruhannya akan menjejaskan beberapa bantuan/subsidi penting atau proses rasionalisasi kerajaan seperti:

1.    Pemansuhan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin
2.    Pengurangan dana R&D universiti awam
3.    Pemansuhan MyBrain15 (MyMaster dan MyPHD)
4.    Pemansuhan subsidi minyak masak
5.    Pemansuhan subsidi elektrik bagi penggunaan RM20 ke bawah sebulan
6.    Pemansuhan bantuan dana untuk KTM dan juga penerbangan luar bandar
7.    Pengurangan pengambilan pelatih-pelatih PLKN
8.    Pengurangan dana pengurusan sisal pepejal


CABARAN DEFISIT FISKAL DAN HUTANG NEGARA

Jika dilihat pada BAJET 2016, defisit fiskal diunjur pada 3.1% iaitu kurang 0.01% dari tahun 2015 (3.2%). Perkara ini merupakan satu kebimbangan utama kerana ianya telah pun menjejaskan sedikit sebanyak sasaran kerajaan dalam memperolehi Perbelanjaan Berimbang pada tahun 2020 seperti termaktub di dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11). Perbelanjaan berimbang berlaku dimana jumlah hasil dan perbelanjaan kerajaan adalah sama banyak (Revenue = Expenditure). Ini kerana bajet berimbang diperlukan bagi kerajaan bagi menangani peningkatan pinjaman yang dilakukan oleh pihak kerajaan dalam membiayai perbelanjaan negara.

Mengikut trend tahun sebelumnya, kerajaan berjaya mengurangkan defisit fiskal dari 6.7% (2009) kepada 3.9% (2013) dan terakhir kepada 3.2% (2015). Namun, unjuran pengurangan defisit fiskal yang amat sedikit pada tahun 2016 iaitu kepada 3.1% menimbulkan keraguan kemampuan kerajaan dalam mendapatkan sifar fiskal pada tahun 2020 yang berbaki kurang dari 5 tahun ini.

Selain itu, secara tidak langsung, defisit fiskal ini juga menunjukkan bahawa kerajaan akan membuat tambahan pinjaman dan ini mengkhuatirkan kerana had pinjaman kerajaan kini hampir kepada 55% dari jumlah Keluaran Kasar Dalam Negara (KDNK), had yang dibenarkan. Namun, penambahan perbelanjaan membangun menyebabkan kerajaan terpaksa untuk mendapatkan pembiayaan tersebut.


CABARAN HASIL MINYAK DAN GST

Dalam BAJET 2016, kerajaan mengunjurkan penurunan pendapatan hasil minyak daripada PETRONAS kepada RM31.7 billion, berkurang daripada RM44 billion (2015) dan juga RM62 billion (2014). Ini berikutan penurunan harga minyak di pasaran dunia sebanyak separuh daripada USD100 setong kepada kira-kira USD50 setong. Ini belum mengambil kira penambahan penawaran minyak di pasaran dunia oleh Iran akibat sekatan ekonominya telah ditarik semula pada pertengahan tahun ini.

Justeru, kehadiran pelaksanaan GST dikatakan tepat pada masanya kerana ianya mampu menampung hasil pendapatan negara dengan anggaran kutipan sebanyak RM39 billion pada tahun 2016 iaitu lebih RM21 billion berbanding dengan anggaran kutipan oleh SST sebanyak RM18 billion.

Namun, perkembangan pendapatan ini menimbulkan satu keadaan yang tidak sihat dimana dalam jangka masa panjang, kerajaan dilihat akan terus menerus bergantung kepada pendapat GST dan tidak menolak kemungkinan peningkatan peratusan nilai GST akan bertambah bagi tahun-tahun yang mendatang berbanding nilai semasa iaitu pada 6%.


CABARAN NILAI MATAWANG DAN EKSPORT NEGARA

Selain itu, mata wang negara sebenarnya berada dalam nilai penyusutan terendah dengan nilai semasa kira-kira RM4.20 bagi setiap 1USD. Ini merupakan nilai yang lebih rendah berbanding tambatan ringgit kepada RM3.80 bagi setiap USD1 pada Krisis Kewangan Asia Tenggara 1998. Namun, keadaan tidak seteruk tahun 1998 dimana ekonomi masih diunjur berkembang berbanding tahun 1998 iaitu ekonomi menguncup sebanyak -7.4%.

Ditambah pula dengan jumlah pengeluaran wang ke luar negara dalam jumlah yang besar, kerajaan seharusnya memainkan peranan yang penting. Antaranya seperti menangguhkan penajaan pelajar ke luar negara bagi pra-siswazah, menggalakkan pelaburan semula keuntungan syarikat-syarikat multinasional negara di Malaysia, menggalakkan percutian dalam negara di kalangan penduduk tempatan, mengetatkan penghantaran wang ke luar negara oleh pekerja asing di Malaysia, menguruskan 2 juta pendatang asing yang bekerja secara tidak sah di Malaysia dan pelbagai lagi kaedah lain yang bersesuaian untuk mengurangkan pengaliran keluar wang keluar dari Malaysia.

Mengikut teori ekonomi, kejatuhan nilai matawang sepatutnya memberikan nilai tambah terhadap aktiviti eksport negara. Walau bagaimanapun, perkara sebaliknya berlaku. Akaun Semasa (Current Account) menunjukkan walaupun ianya masih positif namun nilainya mengurang. Ini berikutan peningkatan nilai import melebihi peningkatan nilai eksport bagi tahun 2015. Walaupun nilai eksport secara keseluruhan melebih nilai import, namun nilai lebihan ini semakin berkurangan.

Ini berpunca dari kelembapan ekonomi China yang merupakan pengimport terbesar dunia yang secara langsung menjejaskan eksport negara. Maka atas sebab itu, kerajaan dilihat amat terdesak dalam menandatangani perjanjian TPPA dimana ianya akan membuka lebih luas pasaran eksport tempatan ke 12 negara anggota. Dari kalangan 12 negara anggota, Malaysia dilihat berpotensi sebagai pengeksport utama disebabkan oleh nilai barangan yang murah dan memiliki sumber tenaga yang murah.


KEGOYAHAN KEYAKINAN KERAJAAN DALAM EKONOMI 2016

BAJET 2016 kali ini juga jelas menunjukkan kegoyahan keyakinan kerajaan terhadap cabaran ekonomi tahun 2016. Ini termasuklah mengunjurkan perkembangan KDNK yang berkurang kepada 4-5% pada tahun 2016 berbanding sasaran asal iaitu 5.6% dalam RMK-11. Bagi mencapai status Negara Berpendapatan Tinggi pada tahun 2020, KDNK seharusnya berkembang dalam purata 6% dan malangnya unjuran perkembangan tahun 2016 tidak mencapai sasaran perkembangan. Dalam erti lain, hasrat kerajaan dalam mencapai Wawasan 2020 dilihat semakin jauh dan sukar.

Selain itu, tiada pemberian bonus kepada kakitangan awam juga dilihat kepada kegoyahan keyakinan kemampuan kerajaan dalam memperoleh hasil seperti yang diwar-warkan. Walaupun berlaku peningkatan satu kenaikan gred gaji penjawat awam dan juga pemberian khas RM500 bagi setiap penjawat awam, ianya tidak mampu untuk melindungkan kelemahan sebenar keyakinan kerajaan terhadap kutipan hasil negara. Ini tidak termasuk dengan cabaran luar seperti kegawatan ekonomi dunia yang dijangka semakin hampir iaitu pada tahun 2018.


RUMUSAN

Secara tuntasnya, BAJET 2016 boleh dikatakan gagal memenuhi beberapa sasaran kerajaan terutamanya dalam memenuhi sasaran Wawasan 2020 dan juga RMK-11. Selain itu, kerajaan juga gagal dalam mengatasi masalah pengangguran yang kian meningkat. Walaupun bantuan bagi meringankan bebanan kos sara hidup dan peningkatan kuasa beli dibuat, ianya masih belum memadai dalam mengharungi ketidaktentuan ekonomi global.

Selain itu, peningkatan cukai pendapatan individu bagi mereka yag berpendapatan antara RM600,000 – RM1,000,000 kepada 26% dan juga RM1,000,000 ke atas kepada 28% merupakan langkah yang sesuai. Ini berikutan mereka ini telah lama menikmati imbuhan dan merupakan golongan paling kurang terjejas dengan bebanan kos sara hidup semasa. Golongan super rich ini yang mewakili 1% dari rakyat Malaysia didapati 70% darinya mewarisi kekayaan dan hanya baki 30% menjana kekayaan sendiri. Seharusnya, kerajaan perlu mengenakan capital tax atau cukai terhadap harta golongan ini sebagai salah satu pendapatan baru bagi membiayai pendapatan negara.

Kerajaan juga dilihat tidak dapat menyembunyikan niat atau corak pengagihan BAJET 2016 dengan memberikan penekanan khusus terhadap Sabah dan Sarawak bagi menghadapi PRU pada tahun hadapan. Walaubagaimanapun, penekanan projek pembangunan dikawasan luar bandar serta kawasan-kawasan tertentu seperti Malaysia Vision Valley, Cyber City Centre dan juga Projek Aeropolis KLIA dijangka akan meningkatkan lagi pasaran hartanah setempat dan membuka peluang pekerjaan baru. Seharusnya, projek-projek sebegini ditambah dan diperluaskan di kawasan-kawasan lain luar bandar dan sebaiknya mengikut koridor-koridor supaya pembangunan antara bandar dan luar bandar seimbang.

Selain itu, kerajaan juga dilihat tidak memanfaatkan sepenuhnya peluang selaku pengerusi ASEAN pada tahun 2015 ini terutamanya dalam memberikan insentif serta prospek dalam menggalakkan penerokaan export serta perdagangan di kalangan negara ASEAN. Ini merupakan satu kerugian di mana ekonomi ASEAN yang mempunyai prospek berjumlah kira-kira RM600 billion tidak dimanfaatkan sebaik mungkin.

Kerajaan juga dilihat ketandusan idea di dalam memberikan Malaysia satu nilai tambah terutamanya bagi menarik pelaburan asing untuk melabur di dalam negara. Infrastruktur yang mendokong pelaburan asing kelihatan tiada. Ini diburukkan lagi dengan penyusutan nilai matawang dan penyusutan rizab antarabangsa dan memungkinkan penurunan taraf (rating). Ini akan menyebabkan Malaysia tidak mampu bergerak keluar dari golongan negara kelas pertengahan menuju kepada negara berpendapatan tinggi.


Penekanan BAJET 2016 terhadap People Economy melebihi Capital Economy pada kali ini walau bagaimanapun merupakan satu penyelesaian jangka pendek dalam menutup isu dan masalah ekonomi negara pada masa hadapan. Ini hanya bagi menutup masalah semasa yang dihadapi rakyat namun tidak mampu untuk bertahan dalam jangka masa lama. Kerajaan seharusnya melakukan pelbagai lagi tindakan agresif bagi memastikan Malaysia terus berada dalam landasan dalam mencapai Wawasan 2020.


Sekian, wasalam.

No comments:

Post a Comment