Labels

Friday, December 4, 2015

1st World Heritage Forum in Asia 2015, Siem Reap, Cambodia

Assalamualaikum WBT,

Pertamanya, penulis mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan diatas kepercayaan yang diberikan oleh World Heritage Centre di bawah United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) untuk tampil sebagai salah seorang dari alumni yang berperanan selaku fasilitator penggerak bagi menjayakan 1st World Heritage Youth Forum in Asia 2015 yang bertempat di Siem Reap, Kemboja pada 25 November – 3 Disember 2015 baru-baru ini.


Forum belia warisan dunia ini yang julung kalinya diadakan di peringkat Asia merupakan rentetan dari forum yang telah dilaksanakan di peringkat dunia melihatkan kepada keperluan terutamanya negara-negara Asia-Pasifik dalam mempersiagakan generasi mudanya dalam menyambung usaha-usaha sedia ada dalam mengekalkan tapak warisan dunia di Asia.

Sebanyak 20 negara Asia-Pasifik telah mengambil bahagian dalam forum kali ini iaitu Australia, Bangladesh, China, Filipina, India, Indonesia, Jepun, Kemboja, Korea Selatan, Laos, Malaysia, Mongolia, Myanmar, Nepal, New Zealand, Pakistan, Singapura, Sri Lanka, Thailand dan juga Vietnam.

Antara aktiviti-aktiviti yang dilakukan adalah seperti sesi syarahan pemeliharaan dan pemuliharaan tapak warisan dunia, perbincangan peranan belia Asia terhadap tapak warisan dunia, malam kebudayaan Asia, sesi simulasi persidangan perwakilan warisan dunia, menyediakan resolusi belia Asia terhadap warisan dunia dan juga lawatan ke Angkor yang merupakan salah satu dari tapak warisan dunia di Asia. Berikut merupakan gambar-gambar yang menceritakan serba sedikit aktiviti-aktiviti yang telah dilalui oleh penulis sepanjang forum pada kali ini.

LAWATAN KE BAKONG, LOLEI DAN PREAH (ROLOUS TEMPLES)

Rolous Temples merupakan antara bukti sejarah peninggalan empayar Khmer yang pertama yang terletak di kawasan utara Tasik Tonle Sap yang merupakan tasik semulajadi terbesar di Asia Tenggara. Ianya dipercayai di bina pada kurun ke 9 dan merupakan bandar pemerintahan Khmer pada ketika itu. Kini, hanya terdapat 3 monumen iaitu tokong yang menjadi peninggalan sejarah iaitu Bakong, Lolei dan Preah.





















LAWATAN KE ANGKOR WAT

Angkor Wat merupakan kompleks tokong yang terbesar di dunia dengan kira-kira 162.6 hektar persegi yang terdiri dari bangunan, hutan dan pengairan. Pada permulaan, ianya di bina sebagai tokong Hindu dan kemudiannya bertukar kepada tokong Buddha. Ianya di bina oleh pemerintah Khmer pada kurun ke-12 iaitu Raja Suryavarnam dan mengambil masa kira-kira 30 tahun untuk disiapkan. Pembinaan Angkor Wat didedikasikan sebagai tanda penghargaan terhadap Dewa Vishnu dan berperanaan sebagai taman dewa di kayangan. Terdapat ribuan patung Buddha dan setiapnya mempunyai wajah yang berbeza.






















LAWATAN KE TA PROHM

Ta Prohm merupakan salah satu dari tokong yang dibina oleh pemerintah Khmer pada akhir kurun ke-12 dan awal kurun ke-13. Nama asal Ta Prohm adalah Rajavihara dan ianya dibina ketika pemerintahan Raja Jayavarnam sebagai Biara Mahayana dan juga berperanan sebagai universiti pada ketika itu. Antara keunikan Ta Phrom adalah ianya dibina dengan mengekalkan kesatuan antara alam semulajadi dan bangunan yang dibina. Sehingga ke hari ini, bekas peninggalan sejarah ini dapat dilihat akan kesatuan tersebut apabila bangunan-bangunan di Ta Prohm masih bersatu dengan pokok-pokok yang berusia ratusan tahun. Tidak dapat dipastikan sama ada bangunan ataupun pokok yang membantu pengekalan keduanya tetapi keduanya masih bersatu sehingga ke hari ini.

























MALAM KEBUDAYAAN ASIA

Malam kebudayaan Asia telah dilaksanakan dengan penglibatan kesemua 20 delegasi negara yang hadir pada forum kali ini. Delegasi berpakaian mengikut tradisi negara masing-masing disamping mempersembahkan tarian negara masing-masing. Selain itu, pertukaran cenderahati antara delegasi juga berlaku.
























SESI PEMBENTANGAN TAPAK-TAPAK WARISAN DUNIA DI ASIA

Setiap delegasi menyampaikan maklumat mengenai tapak warisan dunia yang berada di negara masing-masing. Ianya termasuklah pengenalan, cabaran semasa dan juga perancangan pemulihan dan pemeliharaan tapak warisan dunia berkenaan. Berikut merupakan senarai tapak warisan dunia yang telah dibentangkan:

Australia: Uluru-Kata Tjuta National Park
Bangladesh: Sundarbans

Cambodia: Temple of Preah Vihear
China: Kaiping Diaolou and Villages

India: Humayun's Tomb, Delhi
Indonesia: Borobudur Temple

Japan: Shrines and Temples of Nikko
Laos: Town of Luang Prabang

Mongolia: Uvs Nuur Basin
















Myammar: Pyu Ancient Cities

Nepal: Lumbini, the Birthplace of Lord Buddha
New Zealand: Tongariro National Park

Pakistan: Fort and Shalamar Gardens in Lahore
Philippines: Baroque Churches of the Philippines

Korea: Royal Tombs of the Joseon Dynasty

Singapore: Singapore Botanical Gardens

Sri Lanka: Sinharaja Forest Reserve
Thailand: Historic City of Ayutthaya

Vietnam: Trang An Landscape Complex
















SIMULASI PERSIDANGAN PERWAKILAN WARISAN DUNIA

Seperti forum di peringkat dunia yang telah berlangsung di Serbia 2012, Qatar 2014 dan German 2015, forum warisan dunia di peringkat Asia buat kali pertama ini turut mempunyai simulasi persidangan perwakilan warisan dunia. Para delegasi telah ditugaskan mewakili 21 buah negara anggota mesyuarat UNESCO dan membahaskan perkara-perkara berkenaan warisan dunia.



















LAWATAN KE BAYON DAN BAPHOUN TEMPLES

Bayon merupakan sebuah tokong yang terkenal di Angkor. Di bina pada lewat kurun ke-12 sebagai tokong kerajaan Buddha Mahayana Raja Jayavarman VII, ianya terletak di tengah-tengah bandar kerajaan Jayavarman, Angkor Thom. Antara keunikan yang terdapat di Bayon adalah monumen yang memaparkan empat wajah iaitu mengadap utara, selatan, timur dan barat.

Baphoun merupakan salah satu lagi tokong yang terdapat di Angkor. Ianya dibina pada pertengahan kurun ke-11 dan mempunyai tiga tingkat. Baphoun dibina sebagai tokong bagi kerajaan Udayadityavarman dan didedikasikan kepada Dewa Hindu Shiva. Kemudian, ianya bertukar kepada tokong Buddha pada kurun ke-15.























Forum ini juga bertujuan untuk menyedarkan generasi belia Asia akan pentingnya penglibatan mereka sebagai bukan sahaja pewaris tapak warisan dunia pada masa akan datang tetapi juga sebagai salah satu pihak penggerak dalam misi memelihara dan memulihara tapak warisan dunia itu sendiri.


Sekian, Wassalam.

No comments:

Post a Comment