Labels

Monday, October 24, 2016

Bajet 2017: Realiti Bajet Kosong (Ikat Perut)

Assalamualaikum WBT


Jika sebelum ini di dalam membicarakan mengenai bajet negara, saya suka untuk memfokuskan mengenai peruntukan atau pengagihan kewangan negara melalui program-program kerajaan, pada kali ini suka saya untuk menilai signifikan dan kebolehupayaan program-program yang telah dinyatakan di dalam Bajet 2017 baru-baru ini. Selain itu, saya juga ingin membawa pembaca melihat beberapa fakta yang tidak terdapat di dalam ucapan Bajet 2017, namun ianya penting untuk dihebahkan akibat terkesan dengan Bajet 2017 itu sendiri.



HUTANG NEGARA
Di dalam ucapan Bajet 2017, telah dinyatakan bahawa unjuran defisit fiskal berkurangan dari 3.1% pada tahun 2016 kepada 3% pada tahun 2017. Sepertinya kita melihat bahawa kerajaan sedaya upaya cuba mengurangkan jurang antara pendapatan dan perbelanjaannya. Namun, apa yang tidak dinyatakan secara langsung adalah ini sebenarnya menambahkan lagi jumlah hutang negara. Menurut World Debt Clock, hutang semasa Malaysia pada 24 Oktober 2016 adalah berjumlah RM661.87 billion atau kira-kira 59.67% daripada KDNK. Dengan pengumuman Bajet 2017 ini, Malaysia dijangka menambahkan lagi jumlah hutangnya kepada RM704.97 billion dengan penambahan sebanyak RM43.1 billion. Ini bersamaan kira-kira 63.56% daripada KDNK atau lebih 8.56% daripada had 55% hutang yang dibenarkan.



MENINGKATKAN PEMILIKAN RUMAH
Dalam Bajet 2017, beberapa program atau skim berkaitan pemilikan rumah atau kediaman seperti MyBeautiful New Home, Projek Perumahan Rakyat, PR1MA, Rumah Mesra Rakyat SPNB, Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia dan sebagainya. Selain itu, had peminjaman rumah dinaikkan bagi kakitangan kerajaan dari serendah RM200,000 sehingga maksima RM750,000. Persoalannya, isu rumah bukanlah disebabkan kegagalan mendapatkan pinjaman kewangan bagi membeli rumah semata-mata, tetapi ianya disebabkan oleh harga rumah itu sendiri yang mengalami kenaikan nilai secara mendadak.

Kerajaan seharusnya melihat dan melaksanakan mekanisma bagaimana untuk mengatasi permasalahan ini dan bukannya menggalakan terutamanya penjawat awam untuk berhutang dengan lebih banyak semata-mata bagi memiliki rumah kediaman. Mengikut perkiraan kasar, sekiranya membuat pinjaman perumahan bernilai RM750,000, ini beerti komitmen bayaran semula pinjaman dalam tempoh 35 tahun adalah sebanyak RM3,500 sebulan dan ini sudah semestinya membebankan dan tidak pun menyelesaikan masalah pemilikan perumahan. Bahkan, pemaju akan mengambil kesempatan dengan menaikkan nilai rumah disebabkan pembeli terutamanya kakitangan awam dapat meminjam dengan kadar maksimum yang baru iaitu RM750,000.



MENJANA PENDAPATAN RAKYAT
Terdapat beberapa program yang disediakan bagi menjana pendapatan rakyat terutamanya bagi golongan B40 seperti MySuria, Mobilepreneur, Agropreneur, eUsahawan dan eRezeki. Selain itu, terdapat insentif bagi golongan B40 bagi menawarkan perkhidmatan ride-sharing seperti UBER dengan kemudahan rebat kenderaan sebanyak RM4,000 untuk model Iriz. Tambahan, peningkatan jumlah Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) kepada RM1,200 bagi pendapatan kurang dari RM3,000 juga dilihat sebagai usaha kerajaan bagi meningkatkan pendapatan rakyat terutamanya golongan B40. Namun, kerajaan dilihat terlepas pandang kepada golongan M40 di mana mereka juga merasai kesusahan disebabkan oleh kelembapan ekonomi semasa dan juga pengenalan cukai GST.



MEMPERKASA PENIDIDKAN TINGGI
Umum mengetahui bahawa peruntukan bagi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah berkurangan secara mendadak dan Universiti Awam (UA) merupakan pihak yang paling terkesan. Ini berikutan penuruan kira-kira RM1.4 billion dari RM 7.57 billion peruntukan iaitu kira-kira 19.23%. Antara universiti yang teruk terkesan adalah UiTM dengan pemotongan sebanyak RM563.07 juta, UKM dengan pemotongan sebanyak RM159.53 juta, USM dengan pemotongan sebanyak RM151.74 juta, UPM dengan pemotongan sebanyak RM130.39 juta dan UTM dengan pemotongan sebanyak RM125.48 juta.

Tambahan, dana penyelidikan bagi IPT turut dikurangkan dari RM200 juta kepada RM100 juta serta dana penyelidikan di 5 universiti penyelidikan turut berkurangan dari RM500 juta kepada RM300 juta. Selain itu, peruntukan biasiswa juga berkurangan terutamanya apabila KPT hanya diberikan RM250 juta dan itupun termasuk menampung pembiayaan biasiswa sedia ada di dalam Skim Latihan Akademik Bumiputera (SLAB), Skim Latihan Akademik IPTA (SLAI), MyBrain dan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP). Ini sudah tentu menjejaskan bukan sahaja kuantiti, bahkan kualiti penyelidikan serta graduan yang lahir dari UA.



MENINGKATKAN TAHAP KESIHATAN
Dalam Bajet 2017, kerajaan mewujudkan Gred 56 khusus bagi pegawai perubatan pakar dan pergigian pakar.Selain itu, kerajaan juga melantik secara kontrak graduan perubatan, pergigian dan farmasi. Ini disebabkan oleh kekangan perjawatan yang sedia ada. Selain itu, penempatan pegawai-pegawai kesihatan ini juga tersekat akibat ketiadaan hospital baru yang dibuka oleh kerajaan meskipun nisbah seorang doktor berbanding masyarakat semakin bertambah. Tambahan pula, kewujudan Gred 56 masih tidak mendapat reaksi gembira terutamanya bagi pegawai-pegawai kesihatan apabila perjwataan yang sama di sektor swasta menawarkan pendapatan yang berkali ganda tinggi.



EKONOMI DIGITAL
Bajet 2017 memperlihatkan insentif-insentif berkenaan ekonomi digital seperti mewujudkan Digital Free Zone, pernambahbaikan perkhidmatan jalur lebar yang lebih kompetitif dan juga program-program digital e-Dagang. Selain itu, kerajaan turut memperuntukan RM1 billion bagi meningkatkan kualiti jalur lebar kepada 20Mbps. Tambahan, kerajaan juga berjanji untuk meningkatkan keupayaan jalur lebar di universiti awam kepada 100 gigabit/saat. Namun, tiada peruntukan disebutkan bagi meningkatkan keupayaan jalur lebar di universiti awam dan ini dikhuatiri kerana kemungkinan besar pihak yang menanggung penambahbaikkan tersebut adalah universiti awam yang mana bajetnya telah pun berkurangan.



INSENTIF PEMANDU TEKSI
Pemandu teksi merupakan satu pihak yang menanggung kerugian yang teruk akibat peningkatan perkhidmatan seumpamanya oleh pesaing seperti Uber dan Grab Car. Namun, insentif yang diberi kepada pemandu teksi seperti geran RM5,000 membeli kenderaan baru serta Skim PERKESO kepada pemandu teksi tidak pun menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pemandu teksi. Bahkan semakin ramai pemandu teksi yang tidak meneruskan permit dan sewaan kenderaan teksi disebabkan persaingan hebat ini.



MENGHARGAI PENJAWAT AWAM
Tidak dinafikan bahawa Bajet 2017 memperlihatkan banyak insentif terutamanya kepada penjawat awam. Ini termasuklah pemberian cuti belajar bergaji penuh kepada kumpulan pelaksana, kenaikkan kemudahan pembiayaan motorsikal sehingga RM10,000, kemudahan pembiayaan perumahan sehingga RM750,000 serta melanjutkan tempoh perkhidmatan penjawat awam kontrak. Namun, kewujudan kemudahan pembiayaan smartphones sebanyak RM5000 bagi setiap 3 tahun di lihat sebagai satu kaedah memupuk penjawat awam agar menambahkan keberhutangan sedia ada. Insentif ini dilihat sebagai satu tindakan populis dan bukannya bersifat manfaat. Selain itu, kakitangan swasta dilihat tidak memiliki sebarang insentif khas pada bajet kali ini buat mereka.



PROJEK PEMBANGUNAN
Sesuai dengan tajuk akhbar Sinar Harian berkenaan Bajet 2017 yang mensifatkan sebagai "Bajet Ikat Perut", Bajet 2017 kali ini memperlihatkan hanya satu sahaja projek pembangunan melibatkan projek rel baru iaitu East Coast Rail Line sepanjang 600km yang menhubungkan antara Lembah Klang ke Pantai Timur dengan anggaran RM55 billion. Namun demikian, projek sedia ada seperti MRT, Projek Lebuhraya Pan Borneo, Projek Menara Wawasan dan sebagainya masih melibatkan kos yang tinggi dan ini menyebabkan kekangan kerajaan di dalam memperuntukkan projek-projek mega bagi Bajet 2017.

RINGKASAN
Kesimpulannya, Bajet 2017 dengan tema "mensejahtera kehidupan rakyat seluruh" dilihat majoritinya hanya meneruskan kesinambungan program-program sedia ada tanpa memperkenalkan program-program yang mampu merubah terutamanya pendapatan isi rumah bagi golongan M40. Selain itu, insentif-insentif kerajaan di dalam merangsang ekonomi seperti pemfokusan terhadap ekonomi digital, program merangsang pelaburan swasta, program-program keusahawanan serta mempergiat pasaran modal masih dilihat masih lemah dan memerlukan perhatian khusus di dalam usaha mengharungi kelembapan ekonomi semasa. Ini termasuklah menjadikan produk-produk Malaysia sebagai produk yang mempunyai nilai tambah dan seiring dengan produk-produk antarabangsa yang lain.

Ironinya, dikala perbagai bidang dan sektor terjejas teruk dengan Bajet 2017, peruntukan bagi program PERMATA menerima kenaikkan peruntukan lebih dari sekali ganda kepada RM85 juta berbanding RM36.3 juta pada tahun sebelumnya. Ini jelas menunjukkan bahawa prioriti peruntukan bajet dan juga dasar penjimatan bajet oleh kerajaan tidak seimbang bagi semua bidang dan sektor. Tambahan, pembentangan Bajet 2017 pada kali ini kelihatan meriah dengan kehadiran jemputan-jemputan pihak yang terlibat dalam sebagai penerima manfaat juga dilihat sebagai keterdesakan pihak kerajaan di dalam merancang perbelanjaan Bajet 2017 yang dikira perlu bagi mengambil kira hampir kesemua lapisan masyarakat.

Selain itu, Bajet 2017 juga dilihat bukanlah merupakan bajet populis atau lebih mesra dengan perkataan bajet PRU. Ini melihat kepada kewangan semasa negara yang berada di paras yang tenat bagi melaksanakan bajet bersifat populis. Namun, ini juga tidak mustahil bagi kerajaan untuk mengadakan PRU pada tahun hadapan berikutan pindaan bajet pernah dilakukan oleh kerajaan pada Bajet 2016 yang lepas hanya kira-kira 3 bulan selepas pembentangan Bajet 2016 yang lalu.

Sekian.

No comments:

Post a Comment